Operator jentera maut, kereta terbabas

23 Jan 2023 • 12:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang maut selepas kereta dipandunya terbabas di KM7 Jalan Lipis-Benta pada Isnin. Pix ihsan PDRM

LIPIS - Seorang operator jentera maut selepas kereta dipandunya terbabas di Kilometer (KM)7, Jalan Lipis-Benta pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor memberitahu, mangsa,Fadhullah Suhaimi Jaafar, 45, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, siasatan awal dalam kejadian pada jam 12.08 tengah malam itu mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa memandu kereta jenis Proton Wira dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kampung Melaka Kechau di sini.

"Setibanya di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang hentian bas di tepi kiri jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ujar beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis dan bedah siasat dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 diperolehi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," tambah beliau.