
Kemaskini terbaharu daripada Oppo seakan cuba mencuri perhatian ramai apabila jenama itu mula memberi bayangan bahawa Oppo Find N6 akan dilancarkan ke pasaran global tidak lama lagi. Perkara ini dapat dilihat melalui beberapa perkongsian rasmi di media sosial di mana mereka memuat naik video pendek sebagai isyarat awal kehadiran peranti tersebut.

Beberapa laporan turut menyebut bahawa Oppo Find N6 bakal hadir dengan lipatan yang lebih “tidak ketara” berbanding pesaing selain dilengkapi bateri berkapasiti besar serta kamera Hasselblad beresolusi tinggi. Jika benar, langkah Oppo ini boleh dianggap signifikan kerana ia memberi kelebihan teknikal dan reka bentuk premium yang berpotensi menarik minat pengguna global. Tambahan pula, perkembangan ini dijangka menjadikan persaingan dalam segmen peranti boleh lipat semakin sengit khususnya selepas Honor Magic V6 baru-baru ini memperlihatkan teknologi lipatan skrin yang hampir tidak kelihatan.

Buat masa ini, hanya video promosi sahaja yang telah diterbitkan tanpa sebarang tarikh pelancaran rasmi. Maklumat lanjut dijangka akan dikongsikan oleh pihak Oppo pada masa akan datang.


