Mini, mini dan mini kini menjadi trend dalam kalangan pengeluar tablet hari ini. OPPO juga nampaknya tidak ketinggalan apabila melancarkan Pad Mini di China semalam. Menurut butiran diumumkan, Pad Mini ini hadir dengan rekaan kompak dan ringan dengan seberat sekitar 279gram.

Pad Mini ini dilengkapi dengan skrin bersaiz 8.8-inci (2520×1680) 2.5K OLED, kecerahan puncak 1600 nits serta kadar segar semula 144Hz. Ia dipadankan dengan cip Snapdragon 8 Gen 5 bersama pilihan memori sehingga 16GB LPDDR5X RAM dan storan dalaman 256GB atau 512GB UFS 4.1.
Tablet ini juga menjalankan Android 16 dengan ColorOS 16 yang menawarkan ciri penting seperti perkongsian rangkaian automatik, sokongan dwi-5G serentak, penyelarasan merentas ekosistem Android dan Apple serta sambungan audio untuk berbilang fon kepala pada masa yang sama.

Pad Mini juga memuatkan kamera belakang 13MP dengan LED flash, kamera hadapan 8MP, port USB Type-C, pembesar suara berkembar, dua mikrofon serta bateri 8,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 67W.
Oppo turut memperincikan kemampuan stylus AI disokong yang hadir dengan maklum balas getaran realistik serta fungsi khusus seperti AI Charting dan AI Drawing bagi melengkapi ciri utama tablet ini. Oppo Pad Mini dijual pada harga bermula RMB3699 iaitu kira-kira RM2142 untuk versi asas.

