
Bersama-sama dengan siri Reno16, Oppo turut memperkenalkan Bubble Trendy Selfie Screen iaitu paparan sekunder berbentuk bulat pertama mereka dengan rekaan magnetik. Aksesori ini dipasarkan sebagai “Playful Selfie Screen” yang kompak dengan ketebalan sekitar 7mm dan berat hanya 27.5 gram.

Bahagian hadapan dilengkapi skrin sentuh AMOLED berbentuk bulat yang mampu memaparkan gambar latar statik, animasi bergerak dan video. Pengguna boleh menyesuaikan paparan dengan imej terpilih, emoji serta tema hiasan sekali gus menjadikannya bukan sahaja aksesori tambahan tetapi juga penambah gaya pada panel belakang telefon. Oppo turut menambah kebolehan menukar paparan secara bergilir serta main balik media pada skrin kecil ini untuk menjadikannya lebih menyeronokkan.

Dari segi fungsi, Bubble Trendy Selfie Screen menyokong kawalan kamera jarak jauh sehingga 10 meter sekaligus membolehkan pengguna melihat pratonton gambar dan melaras sudut ketika mengambil swafoto mahupun gambar berkumpulan. Ia juga boleh dipadankan dengan kerangka pelindung peribadi yang menyokong paparan statik atau animasi sekaligus boleh bantu menyerlahkan identiti pengguna.
Buat masa ini, ia serasi digunakan bersama siri Reno16, Reno15, Reno14, Find X8, Find X9, Find X9 Pro dan Find X9 Ultra, dengan lebih banyak model dijangka menerima sokongan kemudian. Aksesori ini ditawarkan pada harga RMB 499 (~RM 291).


