
KUALA LUMPUR – Seramai 24 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur (JIMKL) dalam operasi bersepadu (Ops Gasak) di sekitar Parlimen Setiawangsa, di sini.
Operasi yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama JIMKL dan Suruhanjaya Syarikat (SSM) kelmarin itu menyasarkan premis perniagaan yang menggajikan serta dikendalikan warga asing.
Menurut DBKL, seramai 31 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan pada 26 Ogos lalu sebelum JIMKL membuat 24 tangkapan.
“Selain itu, dua amaran keras turut dikeluarkan oleh JIMKL,” katanya.
Dalam operasi sama, DBKL mengeluarkan 19 notis tawaran kompaun terhadap pemilik premis mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016 serta UUK Pelesenan Penjaja 2016.
DBKL turut mengambil tindakan menutup sembilan premis mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 selain menyita dua premis di bawah akta sama.
Sementara itu, SSM mengeluarkan sembilan notis mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.
DBKL berkata, operasi bersepadu seperti itu akan terus dipergiatkan sebagai komitmen pihaknya bersama agensi kerajaan bagi memastikan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut undang-undang. – KOSMO! ONLINE
The post Ops Gasak: 24 warga asing ditahan di Setiawangsa appeared first on Kosmo Digital.






