
PETALING JAYA – Sebuah hotel bajet yang dipercayai dijadikan lokasi kegiatan pelacuran membabitkan warga asing diserbu dalam operasi Jabatan Imigresen (JIM) di tiga lokasi sekitar Seremban, Negeri Sembilan, semalam.
Operasi bermula pukul 2 petang itu menyaksikan seramai 57 individu berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membabitkan pasukan penguat kuasa Bahagian Penguatkuasaan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur.
“Berdasarkan maklumat awal daripada pihak KBRI berkaitan warga Indonesia yang terlibat dengan aktiviti bekerja tidak bermoral dan berisiko tinggi, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi.
“Hasil operasi, tujuh lelaki warga tempatan, tiga lelaki Indonesia, 12 lelaki Bangladesh dan tiga lelaki Myanmar ditahan.
“Turut ditahan 26 perempuan Indonesia, lima perempuan Bangladesh dan seorang perempuan India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan JIM ke atas premis turut membawa kepada rampasan beberapa pasport Bangladesh, India dan Indonesia, telefon bimbit, kunci premis serta kondom.
Katanya, siasatan mendapati kegiatan berkenaan dijalankan dengan menempatkan perempuan warga asing di rumah tumpangan atau hotel bajet yang disewa secara harian atau bagi tempoh antara seminggu hingga sebulan.
“Premis dipercayai diurus dan dikawal warga tempatan serta warga asing yang berperanan sebagai ‘kapten’ atau pengurus premis.
“Perempuan warga asing terbabit dipercayai menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM50 kepada pelanggan terdiri daripada warga asing dan tempatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kegiatan itu dipercayai telah beroperasi kira-kira setahun dengan struktur pengurusan tersusun dan mampu menjana keuntungan sekitar RM540,000 setahun.
Susulan itu, seramai tujuh warga tempatan ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
Warga asing pula ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE
The post Hotel bajet jadi port pelacuran warga asing diserbu appeared first on Kosmo Digital.






