
PETALING JAYA – Sebanyak 1,923 lawatan pemeriksaan dilaksanakan, dengan 309 notis kompaun berjumlah RM216,500 dikenakan menerusi menerusi Op Kesan 2.0 yang dijalankan pada hari ini.
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Azirruan Arifin, berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan setakat pukul 5.30 petang.
Beliau berkata, lokasi kawasan tumpuan operasi melibatkan sekitar Lembah Klang, antaranya di Pasar Seni, Brickfields, Pudu dan Bandar Baru Ampang.
“Kesalahan berkenaan melibatkan pelanggaran peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
“Selain itu turut terlibat, adalah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789),” katanya menerusi kenyataan, sebentar tadi.
Dalam pada itu Azirruan memaklumkan, operasi telah melibatkan 9,809 lawatan pemeriksaan sepanjang tempoh pelaksanaan Ops Kesan bermula Julai 2026.
“Ia diikuti dengan pengeluaran 2,457 notis kompaun berjumlah RM1.56 juta berkaitan pelbagai kesalahan di bawah Akta 4, Akta 800, dan Akta 789,” ujarnya.
Terdahulu, beliau hadir menyempurnakan Majlis Perasmian Ops Kesan Perkeso 2.0 Peringkat Kebangsaan 2026, di Wisma Perkeso, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi besar-besaran peringkat kebangsaan kali ini digerakkan melalui lebih 300 anggota di 54 pejabat Perkeso di seluruh negara.
“Operasi ini menyasarkan majikan, penyedia platform dan individu bekerja sendiri bagi memperkukuh pematuhan undang-undang perlindungan keselamatan sosial,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ops Kesan Perkeso 2.0: 1,923 lawatan pemeriksaan, kompaun RM216,500 appeared first on Kosmo Online.



