
KUALA LUMPUR – Sebanyak 25,011 notis kompaun berjumlah RM15 juta dikeluarkan kepada majikan yang gagal mendaftar perusahaan dan pekerja sejak tahun 2020 sehingga September 2026.
Timbalan Ketua Eksekutif Operasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Azirruan Arifin, berkata, menerusi pelaksanaan Ops Kesan itu, 21,177 kes lagi didakwa atas pelbagai kesalahan bagi tempoh sama.
Azirruan berkata, Ops Kesan dilaksanakan setiap tahun dan walaupun operasi berkenaan dijalankan secara berkala, masih terdapat majikan yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
“Keutamaan Kementerian Sumber Manusia dan Perkeso jelas, iaitu memastikan semua pekerja mendapat perlindungan keselamatan sosial sewajarnya,” katanya selepas menyertai Ops Kesan Perkeso 2.0 di ibu negara, hari ini.
Beliau terdahulu menyempurnakan Majlis Perasmian Ops Kesan Perkeso 2.0 Peringkat Kebangsaan 2026, di Wisma Perkeso, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, operasi besar-besaran peringkat kebangsaan kali ini digerakkan melalui lebih 300 anggota di 54 pejabat Perkeso di seluruh negara.
Operasi ini antara lain jelas beliau, menyasarkan majikan, penyedia platform dan individu bekerja sendiri bagi memperkukuh pematuhan undang-undang perlindungan keselamatan sosial.
“Ia termasuk sektor informal merangkumi penyedia platform kepada pekerja gig, penjaja, peniaga kecil, yang wajib mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Akta 789.
“Selaras Akta 872 pula, penyedia platform wajib memastikan pendaftaran serta caruman dibuat dan setakat ini, seramai 1.17 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perkeso dengan penguatkuasaan bermula 1 Oktober ini,” ujarnya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post RM15 juta kompaun libat 25,011 majikan gagal daftar perusahaan, pekerja appeared first on Kosmo Online.





