Ops Luxury: JPJ Johor sita 44 kenderaan mewah

LocalCars
18 May 2026 • 4:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ops Luxury: JPJ Johor sita 44 kenderaan mewah
Sebahagian kereta mewah yang disita dalam Ops Luxury hasil penguatkuasaan di beberapa lokasi di Johor. - Foto: JPJ Johor

JOHOR BAHRU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor menyita 44 kenderaan mewah dalam Ops Luxury yang dijalankan di beberapa lokasi strategik di negeri ini bermula 1 Jun hingga Ahad lalu.

Pengarah JPJ Johor, Zulkarnain Yasin berkata, operasi khas itu dilaksanakan hasil risikan, pemantauan serta aduan awam berkaitan tahap pematuhan undang-undang jalan raya melibatkan kenderaan berstatus mewah.

Jelas beliau, operasi tersebut turut memberi tumpuan kepada aspek teknikal, dokumentasi serta keselamatan kenderaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sehingga kini, sejumlah 44 kenderaan mewah telah disita atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah-kaedah berkaitan.

“Antara kesalahan utama yang dikesan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada lesen memandu serta kesalahan teknikal.

“Selain tindakan sita, notis JPJ P(22) turut dikeluarkan terhadap pemilik dan pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pemeriksaan teknikal turut dijalankan bagi memastikan setiap kenderaan berada dalam keadaan selamat untuk digunakan di jalan raya dan tidak mendatangkan risiko kepada pengguna lain.

“JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara adil dan tegas tanpa mengira jenama atau nilai kenderaan, dengan tujuan memastikan semua kenderaan berada dalam keadaan selamat di jalan raya.

“JPJ Johor akan terus mempergiatkan operasi dari semasa ke semasa bagi memperkukuh pematuhan undang-undang serta meningkatkan disiplin pengguna jalan raya,” katanya.