SUBANG JAYA – Sebanyak tujuh motosikal disita, manakala 76 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik menerusi Op Bersepadu (Op Motosikal) yang dijalankan di Jalan Jurutera, Kampung Seri Aman, Puchong, di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, operasi yang bermula kira-kira jam 5.30 petang itu dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dengan kerjasama Balai Polis Bukit Puchong.
“Operasi berkenaan dijalankan bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik, selain membanteras aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 85 individu dan 53 buah motosikal telah diperiksa. Sebanyak 76 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, manakala tujuh motosikal turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wan Azlan berkata, pihaknya memandang serius sebarang bentuk aktiviti samseng jalanan dan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berpotensi mengakibatkan kemalangan serta kehilangan nyawa.
“Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman pengguna jalan raya sentiasa terpelihara.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-78627222,” katanya.





