Ops Patuh Deepavali: Potong barisan, langgar lampu merah kesalahan tertinggi di Kelantan

10 Nov 2026 • 2:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Ops Patuh Deepavali: Potong barisan, langgar lampu merah kesalahan tertinggi di Kelantan
Mohd Misuari

KOTA BHARU - Kesalahan memotong barisan dan melanggar lampu isyarat merah antara kesalahan ketara dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang pelaksanaan Ops Patuh Sempena Perayaan Deepavali yang bermula 7 November lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, kesalahan itu dikesan menerusi penggunaan teknologi dron bagi memantau pergerakan kenderaan dan mengesan pelanggaran peraturan jalan raya di lokasi strategik.

“Rekod penguatkuasaan terdahulu menunjukkan kesalahan memotong barisan dan melanggar lampu isyarat merah antara kesalahan ketara yang dikesan di Kelantan.

“Sebanyak sembilan kes memotong barisan direkodkan, selain satu kes tidak mematuhi garisan berkembar, satu kes melanggar lampu isyarat merah, satu kesalahan berkaitan topi keledar dan dua kesalahan membabitkan tali pinggang keledar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Ops Kenderaan Perkhidmatan Pengangkutan Awam (KPPA) dan Ops Patuh Sempena Perayaan Deepavali Tahun 2026 di sini pada Selasa.

Mohd Misuari berkata, seramai 92 anggota JPJ Kelantan digerakkan dengan kekuatan 23 kenderaan operasi bagi melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan di 10 koridor atau laluan utama serta 53 Point of Duty (POD) di seluruh negeri.

Katanya, sebanyak 15 lokasi panas berisiko tinggi kemalangan maut dikenal pasti di Kelantan, khususnya di pintu masuk utama negeri ini.

Antara lokasi berkenaan termasuk Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Pasir Puteh dan Machang yang memerlukan pemantauan berterusan bagi mengurangkan risiko kemalangan.

"Operasi ini memberi penekanan kepada sembilan kesalahan utama yang dikenal pasti berpotensi meningkatkan risiko kemalangan dan membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.

"Lokasi berisiko ini memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan, khususnya ketika berlaku peningkatan aliran trafik sempena musim perayaan," katanya.

Menurut Mohd Misuari, berdasarkan statistik bagi dua hari pertama operasi iaitu pada 7 dan 8 November lalu, sebanyak 772 kenderaan diperiksa dengan 261 daripadanya diambil tindakan, manakala sebuah kenderaan disita.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 334 notis saman P22 dikeluarkan selain 216 notis bagi lain-lain kesalahan. Secara keseluruhan, sebanyak 550 notis penguatkuasaan direkodkan dalam tempoh dua hari pertama operasi," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved