Ops Ponteng: Penjawat awam antara 8 ditahan tidak puasa di pusat snuker

LocalPolitics
11 Mar 2026 • 11:39 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR – Lapan individu termasuk seorang penjawat awam ditahan dalam Ops Ponteng di sebuah pusat snuker di Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee, Ipoh — lokasi yang didakwa menjadi ‘port rahsia’ bagi mereka yang ponteng puasa dan terbabit kegiatan judi.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Asyraf Ismail, berkata operasi itu hasil risikan selama seminggu, selepas premis berkenaan dikenal pasti menyediakan ruang makan, minum dan merokok secara terbuka, malah menawarkan mi goreng percuma kepada pelanggan.

“Risikan mendapati premis ini menjadi tempat orang Islam yang tidak berpuasa berkumpul. Kita jumpa mereka makan, minum dan merokok, selain ada yang berjudi,” katanya lapor Harian Metro.

Lapan yang ditahan semalam berusia 36 hingga 59 tahun, lima disiasat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah (Syariah) 1992 kerana tidak menghormati Ramadan, manakala tiga lagi atas kesalahan berjudi dan bersubahat.

Seorang pekerja bukan Islam turut ditahan kerana disyaki bersubahat melakukan kesalahan.

Lebih mengejutkan, seorang penghantar makanan yang mendakwa singgah untuk membuang air kecil didapati merokok di dalam premis, berdasarkan bukti visual yang diperoleh pihak berkuasa.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Syariah JAIPk untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 24, 26 dan 61 Enakmen Jenayah (Syariah) Perak 1992. - 11 Mac, 2026

The post Ops Ponteng: Penjawat awam antara 8 ditahan tidak puasa di pusat snuker appeared first on Scoop.