Ops Taring Bravo 3: MCMC rampas RM500,000 peranti komunikasi tidak sah

LocalTechnology
28 Jul 2025 • 5:56 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ops Taring Bravo 3: MCMC rampas RM500,000 peranti komunikasi tidak sah

image is not available

28/07/2025 - 17:56

Pegawai penguat kuasa MCMC menerima barangan yang telah disita PDRM untuk analisis teknikal dan penelitian lanjut Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam penjualan peranti komunikasi tidak diperakui secara dalam talian, susulan rampasan besar-besaran melalui operasi bersepadu Ops Taring Bravo 3 yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa itu berjaya menyita sebanyak 3,837 unit peralatan komunikasi pelbagai jenis, dianggarkan bernilai RM500,000.

MCMC berkata, rampasan berkenaan termasuk konsol permainan tanpa wayar, alat kawalan jauh, peranti pintar, tablet serta pelbagai kelengkapan komunikasi lain yang dipercayai tidak memiliki perakuan teknikal sah daripada pihak MCMC.

“Semua peralatan tersebut telah diserahkan kepada MCMC untuk tujuan analisis teknikal dan penelitian lanjut bagi tindakan susulan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang membawa hukuman maksimum denda RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

image is not available

MCMC berkata, pihaknya akan terus memperketatkan penguatkuasaan terhadap penjualan dan penggunaan peranti komunikasi tidak sah di pasaran, demi melindungi pengguna serta memelihara integriti industri komunikasi tempatan dari aspek pematuhan piawaian teknikal.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penjualan atau pengedaran peranti komunikasi tidak diperakui digesa untuk menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi aduan MCMC atau kepada pihak PDRM. - DagangNews.com

standard