Optimax buka klinik pakar telinga, hidung dan tekak pertama, Nasenmax di Damansara Jaya

LocalHealth & Fitness
28 Sep 2026 • 2:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Optimax buka klinik pakar telinga, hidung dan tekak pertama, Nasenmax di Damansara Jaya Image from: Optimax buka klinik pakar telinga, hidung dan tekak pertama, Nasenmax di Damansara Jaya amree28/09/2026 - 14:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept — Optimax Holdings Berhad memperluas perniagaan kesihatannya melangkaui bidang oftalmologi atau mata, menerusi pelancaran Nasenmax, klinik pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) pertama di Atria Shopping Gallery, Damansara Jaya, Selangor.

 

Langkah terbaharu berkenaan dilihat sebagai usaha kumpulan tersebut untuk membina platform penjagaan kesihatan pakar secara lebih luas, selain memanfaatkan infrastruktur klinikal dan dewan bedah yang memang sedia ada di lokasi premis berkenaan sendiri.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, Nasenmax memberi tumpuan kepada aspek penjagaan ENT secara menyeluruh, khususnya diagnosis dan rawatan masalah hidung serta pernafasan termasuk kes yang memerlukan prosedur pembedahan.

 

"Klinik berkeluasan kira-kira 139 meter persegi itu dilengkapi dengan pelbagai fasiliti moden termasuk bilik konsultasi, bilik rawatan, bilik audiologi serta kemudahan ujian terhadap alahan secara dalaman," tambah Optimax yang sudah ditubuhkan sejak 1995.

 

Bagi prosedur pembedahan ENT ujarnya, Nasenmax turut disokong dewan bedah khusus yang dilesenkan oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Ia juga menerima kelulusan Kementerian Kesihatan pada Mac 2026 bagi menawarkan perkhidmatan ENT.

 

Nasenmax diterajui Dr Eugene Wong, pakar bedah ENT yang menerima latihan fellowship daripada European Academy of Facial Plastic Surgery (EAFPS) di Britain serta mempunyai pensijilan lembaga dalam bidang pembedahan plastik dan rekonstruktif wajah.

 

Optimax_DagangNews2026

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Optimax, Sandy Tan berkata, pelancaran Nasenmax merupakan langkah yang penting dalam perjalanan kumpulan berkenaan sendiri untuk dapat membina banyak platform penjagaan kesihatan pakar secara lebih luas.

 

"Kami komited pengembangan di luar perkhidmatan penjagaan mata itu kekal memberi tumpuan kepada penyediaan rawatan pakar berkualiti dan mudah diakses, selaras dengan keperluan pesakit yang semakin berkembang pesat," jelas beliau dalam kenyataan.

 

Pada masa sama, penambahan perkhidmatan ENT membolehkan Optimax mengoptimumkan lagi penggunaan infrastruktur klinikal dan dewan bedah sedia ada di Atria, sekali gus memperluas penggunaan aset kumpulan kepada bidang kepakaran kesihatan lain.

 

Sehubungan itu tambah Sandy, Optimax akan terus meneroka peluang untuk memperluas perkhidmatan penjagaan kesihatan pakarnya, dengan matlamat mewujudkan nilai jangka panjang kepada pesakit dan menjana banyak hasil kumpulan berkenaan.

 

Secara am katanya, Optimax merupakan penyedia perkhidmatan pakar mata dan produk berkaitan di Malaysia, dengan rangkaian rawatan meliputi penyakit mata, pembedahan refraktif, konsultasi, dispensari, pembedahan okuloplastik serta pemeriksaan mata. 

 

"Kumpulan ini turut berpengalaman melayani ramai pesakit antarabangsa dari beberapa negara termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Australia, China, Hong Kong dan Jepun," kata kenyataan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved