amree23/09/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — DC Healthcare Holdings Berhad memperluas rangkaian klinik estetik perubatan dengan membuka empat cawangan baharu di Johor, Selangor dan Pulau Pinang antara Julai hingga September 2026, bagi memenuhi momentum pertumbuhan permintaan perkhidmatan.
Menurut kenyataan kumpulan tersebut, cawangan berkenaan merangkumi tiga Klinik Dr Chong di Muar, Johor; USJ Taipan dan Setia Alam, Selangor serta sebuah klinik lagi di Greenlane, Pulau Pinang yang beroperasi di bawah jenama tersendiri Klinik DC Plus.
Jelasnya, pengembangan berkenaan membolehkan kumpulan memperkukuh kehadiran fizikalnya di kawasan utama yang padat penduduk, sekali gus meluaskan akses kepada perkhidmatan estetik perubatan di wilayah selatan, tengah dan utara Semenanjung Malaysia.
"Pembukaan rangkaian baharu itu bermula pada Julai 2026 dengan Klinik Dr Chong di Muar dan USJ Taipan, diikuti cawangan Setia Alam pada Ogos 226 sebelum Klinik DC Plus di Greenlane, yang baru sahaja dibuka pada September 2026," kata DC Healthcare.
Pengenalan Klinik DC Plus turut menjadi langkah baharu dalam memperluas portfolio jenamanya, selain menyediakan platform tambahan untuk kumpulan melayani pelanggan dan meningkatkan liputan pasaran dengan memanfaatkan keupayaan klinikal serta infrastruktur sedia ada.
Pengembangan tersebut hadir ketika segmen perkhidmatan estetik teras kumpulan mencatatkan pertumbuhan hasil yang lebih kukuh, dengan pendapatan suku kedua tahun kewangan 2026 meningkat 15% kepada RM20.44 juta berbanding RM17.80 juta setahun sebelumnya.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026 pula, pendapatan perkhidmatan estetik meningkat 20% kepada RM39.12 juta daripada RM32.66 juta, menunjukkan pertumbuhan segmen tersebut terus menjadi antara pemacu utama operasi kumpulan.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr Chong Tze Sheng berkata, pembukaan empat klinik berkenaan merupakan langkah untuk memperkukuh kehadiran kumpulan serta menjadikan perkhidmatan estetik perubatannya lebih mudah diakses di pasaran utama.
"Kumpulan kekal berdisiplin dalam pengembangan dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pertambahan lokasi, tetapi juga memastikan setiap klinik disokong permintaan pasaran, keupayaan klinikal dan sumber operasi yang bersesuaian," katanya.
Melangkah ke hadapan, DC Healthcare terus mengoptimumkan prestasi rangkaian klinik, mengembangkan produk penjagaan kulit dan kesejahteraan serta menilai peluang pengembangan terpilih, selain memperkukuh pemasaran digital, penggunaan analitik data pesakit dan kecekapan operasi.
Dengan empat klinik baharu itu, DC Healthcare menyasarkan rangkaian luas untuk menyokong pertumbuhan pendapatan mampan, di samping meningkatkan penggunaan sumber, memperluas campuran rawatan premium serta meneroka teknologi bagi meningkatkan pengalaman pesakit. - DagangNews.com






