
GUA MUSANG: Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Hendrop dan Pos Tuel, di sini, bersyukur kerana akhirnya dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari, setelah lebih 60 tahun menanti untuk mendapatkan kemudahan berkenaan.
Mereka yang terdiri daripada 450 keluarga di dua pos penempatan terbabit, meluahkan perasaan gembira dan berterima kasih kepada kerajaan selepas pemasangan dibuat oleh pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sejak bulan lalu, secara berperingkat.
Penghulu Kampung Hanir Pos Tuel Razak Rongging berkata sebelum ini, penduduk hanya menggunakan lilin, pelita dan enjin generator, sebagai sumber cahaya pada waktu malam.
“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan, kerana membantu menyalurkan kemudahan elektrik bermula sejak Mei, kerana sejak dulu lagi kami idamkan bekalan elektrik.
“Jadi sekarang kita bersyukur, kerana zaman ini kemudahan elektrik memang diperlukan dan kami berharap pihak TNB dapat membantu memberi penjelasan tentang penggunaan tenaga elektrik, kerana kebanyakan penduduk merupakan pengguna baharu serta kami bimbang jika berlaku kejadian tidak diingini termasuklah litar pintas,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Tuel, di sini.
Penduduk Zaiton Anjang, 37, pula berkata, jika dahulu mereka perlu berbelanja untuk membeli bekalan lilin dan minyak generator dalam jumlah yang banyak, kini mereka dapat menggunakan pelbagai peralatan elektrik di rumah.
“Saya sangat teruja akhirnya boleh menonton televisyen, memiliki peti sejuk dan menggunakan kipas tanpa perlu memikirkan bekalan minyak generator lagi. Kami sedang mengumpul duit membeli barangan elektrik yang perlu di rumah.
“Sebelum ini kami terpaksa guna generator hingga menanggung perbelanjaan yang tinggi bagi kos pembelian minyak dan membaiki kerosakan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata pihaknya berterima kasih kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di atas keprihatinan kementerian tersebut melaksanakan penyambungan bekalan elektrik di penempatan terbabit.
“Penduduk dari pelbagai kampung seperti Kampung Sungai Ber, Kampung Plug, Kampung Kerbok, Kampung Hendrop dan Kampung Tuel, telah mendapat manfaat yang ditunggu sekian lama.
“Rata-rata berterima kasih kepada pihak kerajaan, di atas usaha untuk memastikan semua kampung diberi kemudahan asas ini. Seterusnya kita akan menambah baik fasiliti sedia ada seperti jalan, dewan, masjid dan sebagainya,” katanya. -Bernama
