
GUA MUSANG – Program Jualan Rahmah Madani di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pasik mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 1,000 penduduk Orang Asli hadir membeli barangan keperluan sehingga ada yang menebus Sumbangan Asas Rahmah (Sara) terkumpul sehingga RM800.
Seorang penduduk Kampung Ayong, RPS Pasik, Ramli Chimbong, 51, berkata, program berkenaan banyak membantu menjimatkan kos kerana penduduk tidak perlu mengeluarkan perbelanjaaan yang tinggi sehingga RM600 untuk ke Gua Musang.
“Harga memang sangat murah berbanding kedai di kampung kami. Di kampung ini, harga barang agak mahal apabila beras boleh mencecah RM40 bagi sembilan kilogram tetapi, pada Program Jualan Rahmah Madani ia dijual pada harga RM29,” katanya.
Pemilik SMS Maju Solution yang menjual barangan Program Jualan Rahmah Madani, Sabariah Mohamed Sayuti berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan kebanyakan mereka gemar mengumpul baki Sara untuk dimanfaatkan ketika jualan murah ini.
“Ada yang mempunyai baki Sara sebanyak RM300, RM500 sehingga RM800 dalam MyKad mereka. Jarang kami jumpa yang hanya ada RM100 kerana kebanyakannya adalah baki yang terkumpul,” katanya.
Sementara itu, Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, program di kawasan Orang Asli itu dijalankan bagi memberi peluang kepada penduduk memanfaatkan Sara yang dikreditkan ke dalam MyKad mereka untuk membeli keperluan asas sekali gus meringankan beban perbelanjaan isi rumah. – KOSMO! ONLINE
The post Orang Asli tebus Sara hingga RM800 di Jualan Rahmah Madani appeared first on Kosmo Digital.




