
PETALING JAYA – Pemimpin sepatutnya mengangkat wacana matang dan bukannya menjadikan jenaka berunsur seksual atau sensitiviti agama lain sebagai bahan dalam ucapan mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, perbuatan mempersenda, menghina, mencemuh atau merendahkan orang lain sememangnya dilarang keras dalam Islam.
Menurutnya, perkara itu jelas sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Hujurat ayat 11 yang melarang orang beriman daripada menghina, mengejek, memanggil dengan gelaran buruk serta mencela antara satu sama lain.
“Dalam setiap pidato atau ucapan, seseorang pemimpin sepatutnya mengangkat wacana yang matang, berfokus kepada pembangunan negara serta pengukuhan perpaduan.
“Bukannya diwarnai dengan jenaka berunsur seksual, apatah lagi yang menyentuh sensitiviti institusi agama lain,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Zulkifli berkata, perbuatan menjadikan simbol atau tokoh mana-mana agama sebagai bahan lelucon bukan sahaja merendahkan nilai adab kepimpinan, malah boleh menjejaskan keharmonian antara agama yang sentiasa dipertahankan di negara ini.
Katanya, seseorang pemimpin khususnya yang beragama Islam perlu menjadi teladan kepada masyarakat dan sebarang kekhilafan sedemikian sewajarnya diinsafi serta ditangani dengan sebaiknya.
“Saya menyeru semua pihak untuk kembali menumpukan perhatian kepada isu-isu kepentingan rakyat dan membudayakan wacana awam yang berasaskan hikmah, kesopanan serta nilai akhlak yang tinggi.
“Sebarkan kebaikan. Sebarkan salam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Orang beriman tidak mempersenda, menghina agama lain – Zulkifli appeared first on Kosmo Online.






