Pelakon Norman Hakim mencuri perhatian ramai selepas memuat naik pengalaman peribadinya di Instagram mengenai insiden beg bagasinya rosak dalam penerbangan antarabangsa. Dalam hantaran itu, Norman berkongsi kisah lapan beg bagasinya, di mana tiga daripadanya mengalami kerosakan dengan satu berada dalam keadaan yang sangat teruk.
Menurut Norman, ini adalah pengalaman baharu baginya dan dia terkejut apabila diberitahu insiden seperti itu dianggap “normal” dalam penerbangan antarabangsa.
“Dari jumlah lapan beg, tiga ‘down’ dengan dua ‘cedera ringan’ dan satu ‘cedera parah’. Colleague saya kata ini normal. What???.”.
Namun, Norman tidak mahu menyalahkan pihak penerbangan sepenuhnya. Sebaliknya, dia menyeru orang ramai agar bersama-sama membantu syarikat penerbangan mencari penyelesaian.
“Kita nak bantu mereka cari solusi untuk penambahbaikan servis, sebab dengarnya pihak pengurusan sedang merancang untuk menambah kapasiti penerbangan.”
Norman turut berkongsi statistik bahawa kira-kira 45 juta penumpang menggunakan penerbangan tersebut sepanjang tahun 2024. Menurutnya, walaupun isu ini mungkin dilihat kecil, ia sering berlaku dan perlu diatasi segera.
“Mungkin orang yang incharge ke atas beg ni ada masalah personal, jadi dia lepaskan amarah pada beg. Kalau saya yang hempas pun belum tentu pecah.”
Norman mengakui dia memahami cabaran yang dihadapi syarikat penerbangan dalam mengekalkan standard operasi. Namun, dia berharap agar insiden seperti ini dapat dicegah demi menjaga kepuasan penumpang.
“Paling saya tak sampai hati bila bayangkan muka founder syarikat penerbangan ni. Seboleh mungkin dia nak beri yang terbaik untuk syarikat dia, tapi ada pekerja yang mungkin tak dapat accomplish SOP yang dah ditetapkan.”.
Norman turut mengingatkan bahawa tidak semua orang mampu menggantikan beg yang rosak dengan mudah.
“Yang dah banyak duit mungkin tak ada hal, beg jahanam boleh beli lain. Kita ni bekerja siang malam, sayang sangat barang-barang.”
Hantaran Norman itu mendapat reaksi pelbagai daripada netizen, dengan ramai yang berkongsi pengalaman serupa dan berharap agar syarikat penerbangan mengambil perhatian terhadap isu ini.
The post Orang incharge ni mungkin ada masalah personal, lepas amarah pada beg’ – Norman Hakim appeared first on The Reporter.


