'Orang menyakau hak rakyat tiba-tiba jadi pejuang', sindir Anwar

Politics
14 May 2023 • 6:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Anwar - Foto SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] "Orang-orang yang kuat menyakau hak rakyat sekarang tiba-tiba bangkit jadi pejuang," sindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada pemimpin pembangkang.

Anwar berkata, pemimpin tidak sepatutnya mengkhianati amanah rakyat dan mengorbankan kepentingan kaum serta bangsa semata-mata mahu hidup senang.

Menurutnya, pembangkang juga sibuk mencanang isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain perkara kecil yang dijadikan isu.

"Yang dihebohkan pembangkang apa? (Isu KWSP) atau Anwar pergi ke luar negara pakai songkok atau capal. Yang kamu sibuk dan sakit hati saya pakai capal sebab apa?

"Saya katakan kepada menteri-menteri mereka nak pakai capal, kasut, tali leher boleh. Yang tak boleh sakau," katanya.

Beliau berkata demikiam ketika menyampaikan amanat perdana sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, ada yang menegurnya kerana membuat teguran keras kepada pembangkang.

"Ada yang menegur saya, kata jangan keras sangat. Saudara, saya bukan keras tetapi mahu ingatkan jangan khianati amanah rakyat semata-mata kamu mahu berjaya," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan tidak sepatutnya diganggu dengan sikap segelintir pemimipin yang menyalahgunakan kuasa termasuk dengan memberikan kontrak buat anaknya atau memberikan kontrak digital kepada menantu.

"Lingkup negara kalau kita biarkan ia berlaku begitu rupa," tegasnya.

Anwar sebelum itu berkata, buat pertama kalinya selepas 25 tahun, beliau berucap semula di Dewan Merdeka.

"Hari ini saya hadir dengan penuh semangat dan pelbagai perasaan kerana setelah 25 tahun dapat berucap (semula) di Dewan Merdeka.

"Terima kasih kerana beri kesempatan (kepada saya) kembali ke Dewan Merdeka. Demikianlah kenyataan sejarah, ia perlukan istiqamah, komitmen dan tekad berjuang," ujarnya.

Kali terakhir Anwar berucap di Dewan Merdeka adalah pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 1997 iaitu ketika beliau memegang jawatan timbalan presiden parti itu.