Orang Muda Tak Mahu Ditipu Lagi #PRU15

Opinion
18 Oct 2022 • 2:00 PM MYT
Mohamad Azim
Mohamad Azim

Just a normal Malay bloke. Writer by profession.

Image from: Orang Muda Tak Mahu Ditipu Lagi #PRU15
Isu kos sara hidup merupakan isu yang perlu ditangani mana-mana parti pasca-PRU15. Sumber: Nafise Motlaq/World Bank

Musim pilihan raya umum (PRU) bakal kembali selepas pembubaran Parlimen yang dibuat seminggu sebelumnya. Macam biasa, parti-parti politik mula menabur janji demi meraih sokongan. Tapi bagi orang muda, pegangan mereka mudah: Kami tak mahu ditipu lagi!

Terdapat banyak sebab sokongan orang muda kritikal untuk PRU kali ini. Pertamanya, perlaksanaan Undi18 di mana bilangan pengundi ditambah sebanyak enam juta orang. Justeru, undi mereka boleh saja mengubah keputusan sesebuah DUN atau Parlimen secara signifikan.

Keduanya, terdapat banyak isu penting yang membelenggu orang muda hari ini. Orang muda tak pandang pun retorik politik seperti Langkah Sheraton, ketuanan Melayu dan isu kuota. Banyak kali jerit di medan ceramah sekalipun, orang takkan layan kecuali penyokong tegar.

Image from: Orang Muda Tak Mahu Ditipu Lagi #PRU15
Isu kos sara hidup merupakan isu yang perlu ditangani mana-mana parti pasca-PRU15. Sumber: Nafise Motlaq/World Bank

Yang orang muda pentingkan sekarang ini ialah kos sara hidup dan isu pekerjaan. Dua isu ini amat penting sebab itu yang tentukan dapur rumah berasap, kereta ataupun motosikal boleh bergerak dan duit dalam tangan. Tiada ketiga-tiga ini, macam mana nak teruskan hidup seperti biasa? 

Dulu masa PRU14, orang muda digula-gulakan dengan pelbagai janji. Kalau pakatan ini naik, katanya semua harga barang turun termasuk minyak. Kalau orang ini naik, bantuan yang diberi takkan dikurangkan. Tapi lepas naik, semua janji yang ditabur dianggap tiada nilai langsung.

Image from: Orang Muda Tak Mahu Ditipu Lagi #PRU15
Janji-janji seperti mansuh PTPTN yang dijaja sebelum ini tak dilaksana selepas parti yang menang 'tersedar' nak buat makan belanja tinggi. Sumber: Blog Tamingsari

Bantuan BHR (kini BKM) dikurangkan walaupun dikekalkan. Harga barang dan minyak yang dikata turun hanya indah khabar dari rupa. Mansuh pinjaman PTPTN, langsung tak direalisasikan. Sebabnya mudah, realisasi semua janji ini makan kos kewangan yang besar.

Masa berkempen, janjilah macam-macam walaupun tak boleh tunaikan. Sekali bila naik, terkulat-kulat macam mana laksana. Bila benda ini jadi, takkah orang muda rasakan diri mereka diperbodohkan?

Sebab itu, walaupun Undi18 telah dilaksanakan, itu bukan bermakna orang muda akan sungguh-sungguh pergi mengundi. Orang muda makin bijak menilai siapa yang patut diberi sokongan dan apa janji yang boleh ditunaikan. Dengan dua isu yang dinyatakan sebelumnya, kalau itu tak boleh tolong, lupakanlah nak dapatkan undi orang muda.

Orang muda bukan seperti dulu. Sekali kena, mereka akan ingat sampai bila-bila. Dan itu harga mahal yang perlu dibayar parti-parti politik kalau nakkan orang muda kembali sokong mereka untuk PRU15.


Image from: Orang Muda Tak Mahu Ditipu Lagi #PRU15

Kongsi pengalaman, impian atau harapan anda untuk #PRU15 dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM16,500! Berminat? Ambil bahagian di sini.


Mohamad Azim adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav.

Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.