Orang ramai dijemput sertai majlis Malaysia Bermunajat doa kesejahteraan negara

LocalPolitics
18 Jul 2025 • 1:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Na’im Mokhtar.

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mempelawa orang ramai menghadiri majlis Malaysia Bermunajat yang akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada esok.

Mohd Na’im berkata, majlis penuh keberkatan yang akan bermula jam 6 petang hingga 9 malam itu turut dijangka dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Malaysia Bermunajat ialah wadah untuk kita kembali memperkukuh hubungan dengan Allah SWT, memohon keampunan, serta mendoakan keamanan, perpaduan dan keberkatan buat negara Malaysia tercinta.

"Ia juga menjadi simbol kesatuan ummah dalam menjunjung agenda Malaysia Madani yang berteraskan nilai ihsan dan kesejahteraan insani,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, antara pengisian utama program itu, termasuk solat maghrib berjemaah, Bayan (nasihat agama) oleh Maulana Tariq Jamil, solat isyak dan solat hajat berjemaah serta ucapan khas Perdana Menteri.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang untuk bersama-sama mengimarahkan rumah ALLAH itu, membina kekuatan spiritual dan memperteguh kesatuan ummah melalui doa dan ibadah,” katanya. - Bernama 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved