haziq08/01/2026 - 09:24 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Jan – Pemaju hartanah Oriental Interest Bhd mengembangkan bank tanahnya di Selangor menerusi pemerolehan tunai berharga RM80.77 juta bagi 68.12 ekar tanah di Bukit Raja.
Dalam satu pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata urus niaga tersebut dimuktamadkan pada 31 Disember 2025 melalui perjanjian jual beli antara Myra Land Sdn Bhd, anak syarikat milik 70% Oriental Interest dan SJ Properties Sdn Bhd.
Baki 30% pegangan dalam Myra Land dimiliki oleh Pesaka Saujana Properties Sdn Bhd, yang diklasifikasikan sebagai pihak ketiga berkaitan, menurut Oriental Interest.
SJ Properties pula dimiliki sepenuhnya oleh Syarikat Permodalan Kebangsaan Bhd.
Oriental Interest memaklumkan sebahagian daripada tanah tersebut ketika ini diduduki oleh penyewa, namun tempoh pajakan berkenaan dijangka tamat sebelum urus niaga itu diselesaikan.
Katanya, harga pembelian RM80.77 juta ditentukan berdasarkan harga pasaran terkini hartanah berhampiran serta potensi pembangunan tapak tersebut.
Walaupun tiada penilaian rasmi dijalankan setakat ini, kumpulan itu berkata Myra Land bercadang untuk melantik penilai profesional bagi memenuhi keperluan pengemukaan urus niaga tersebut untuk kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Menurut Oriental Interest, pemerolehan itu bertujuan meningkatkan bank tanah kumpulan di lokasi strategik.
“Cadangan pemerolehan ini akan menjadi sebahagian daripada peluasan masa depan kumpulan, selaras dengan kekuatan dan kepakaran kami dalam pasaran pembangunan hartanah di wilayah tengah Semenanjung Malaysia,” katanya. - DagangNews.com

