haziq24/12/2025 - 09:52 Oleh HAZIQ HAKIMI haziq@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Dis — Jasa Kita Bhd memeterai perjanjian dengan pasangan kepada pengerusi eksekutifnya yang baharu dilantik, Datuk Yasmin Mahmood, bagi memperoleh 55% kepentingan dalam SPPH Eco Biomass Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat pemilik tanah industri di Pahang dengan nilai transaksi keseluruhan RM38.34 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata pemerolehan tersebut melibatkan bayaran tunai RM14.51 juta kepada penjual, Abd Azis Mohamad, selain pengambilalihan pendahuluan berjumlah RM23.83 juta yang terhutang oleh SPPH kepada Abd Azis.
Menurut Jasa Kita, langkah strategik itu sejajar dengan usaha kumpulan untuk mengukuhkan asas aset dan mempelbagaikan perniagaan melangkaui aktiviti teras perdagangan dan pengedaran.
“Pemerolehan ini membolehkan kumpulan memperoleh kepentingan kawalan dalam syarikat pemilik tanah tanpa perlu membuat pengambilalihan ekuiti penuh atau pembelian tanah secara terus,” katanya.
SPPH memiliki sebidang tanah industri pajakan seluas 445,510 meter persegi yang terletak di Estet Perindustrian Gebeng, sebuah zon industri berat berhampiran Pelabuhan Kuantan.
Jasa Kita berkata pemilikan majoriti memberikan fleksibiliti kepada kumpulan untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat terhadap penggunaan masa depan hartanah termasuk menyokong keperluan operasi seperti pergudangan dan logistik, meneroka potensi pembangunan, atau memegang aset tersebut untuk apresiasi modal jangka panjang.
Abd Azis memperoleh saham SPPH pada harga RM1 pada Februari 2022 dan kemudiannya menyalurkan pendahuluan sebanyak RM23.5 juta bagi membiayai pembelian tanah daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang serta bayaran profesional berkaitan.
Jumlah pendahuluan itu meningkat kepada RM23.83 juta setakat 30 Jun 2025 susulan bayaran tambahan bagi cukai tanah dan perbelanjaan pentadbiran.
Baki kepentingan ekuiti dalam SPPH masing-masing dipegang oleh Muhammad Hafiz Rozlan (27%) dan Rozlan Ab Rahman (18%).
Pemerolehan saham tersebut tertakluk kepada syarat penutupan lazim termasuk kelulusan pemegang saham bukan berkepentingan Jasa Kita pada mesyuarat agung luar biasa (EGM).
Yasmin, abangnya yang juga pengarah urusan kumpulan Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood serta Abd Azis merupakan pihak yang secara bersama memperoleh 40.33% kepentingan dalam Jasa Kita pada September lalu menerusi Kintan Prima Sdn Bhd.
Yasmin dan Iskandar hanya mengambil alih peranan semasa mereka kira-kira sebulan lalu.
Kintan Prima sebelum ini membeli 40.33% pegangan dalam Jasa Kita daripada Tan Sri Robert Tan Hua Choon dan anaknya Datuk Seri Tan Han Chuan pada harga RM68.9 juta bersamaan 38 sen sesaham ketika itu. - DagangNews.com
