OriginOS 6 Global Diperlihatkan Dengan Penambahbaikan Reka Bentuk Utama

TechnologyDigital
6 Oct 2025 • 1:53 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

vivo mula mempromosikan kebolehan perisian terkini mereka OriginOS 6 melalui ciapan di platform X. Perisian ini akan dilancarkan terlebih dahulu di China pada 10 Oktober 2025 sebelum memasuki global pada 15 Oktober 2025. Pelancaran ini menandakan pengguna global berpeluang mencuba pengalaman perisian yang sebelum ini hanya tersedia untuk peranti di China.

image is not available

vivo turut berkongsi pandangan pertama terhadap antara muka dan beberapa versi global OriginOS 6. Berdasarkan teaser yang dikongsi, tumpuan utama adalah pada prestasi yang lebih lancar serta pintasan berkuasa kecerdasan buatan (AI).

image is not available

Antara muka baharu ini menampilkan animasi yang lebih responsif ketika membuka dan bertukar antara aplikasi. Menurut Vivo, prestasi sistem ini dioptimumkan secara mendalam bagi memastikan pengalaman harian seperti menatal, melancarkan aplikasi dan kerja multi-tugas menjadi lebih pantas serta konsisten. Tetingkap terapung kini juga boleh membesar atau mengecil bergantung kepada aplikasi digunakan untuk memberikan pengalaman paparan yang lebih menyeluruh.

image is not available

Dalam satu demo, tindakan menyeret foto ke bahagian pemangkasan akan mencetuskan cadangan perkongsian segera, menjadikan proses suntingan dan penghantaran lebih menyeluruh. OriginOS 6 dilihat turut dipengaruhi oleh ciri Dynamic Island daripada Apple namun vivo memberikan penekanan yang lebih kepada AI melalui sistem ramalan pilihan yang berpotensi berguna kepada pengguna dalam pelbagai situasi harian.

image is not available

Selain ciri utama, kemas kini OriginOS 6 turut dijangka memperkenalkan widget yang diperbaharui, kawalan privasi baharu serta pelbagai penambahbaikan reka bentuk. Sehingga kini, OriginOS hanya tersedia untuk peranti di China manakala model global menggunakan Funtouch OS. Pelancaran ini menunjukkan potensi OriginOS 6 untuk menggantikan Funtouch OS pada peranti global pada masa akan datang.

image is not available

Menjelang pelancaran global, vivo membenarkan pemilik model X200 Pro untuk mencuba sistem operasi ini lebih awal melalui OriginOS 6 Preview Program dengan hanya 500 slot disediakan untuk pengguna yang berminat.

Untuk menyertai, pengguna perlu memastikan peranti mereka dikemas kini kepada versi sistem 15.0.14.1 atau lebih baharu. Seterusnya, pengguna boleh pergi ke Tetapan > Kemas Kini Sistem > Tetapan (kanan atas) > Versi Percubaan > Daftar Beta Tertutup.

Jika terpilih, pengguna boleh mengakses OriginOS 6 melalui Tetapan > Naik Taraf Sistem. Program ini dilabel sebagai beta tertutup, dan pengguna dinasihatkan supaya bersedia menghadapi beberapa pepijat sepanjang tempoh percubaan.