
WARSAW – Pemancing dari Jerman, Oliver Schafer, 34, menaikkan seekor ikan gergasi spesies ‘catfish’ sepanjang hampir 3 meter dalam kejohanan memancing di Poland, lapor saluran berita Euro News.
Dia mendaratkan ‘raksasa’ air tawar sepanjang 2.92 meter itu ketika beraksi bersama rakan sepasukannya dari Belanda, Kevin Cremers.
Pertandingan memancing itu diadakan di sebuah takungan air di bandar Rybnik, selatan Poland, baru-baru ini.
“Saya hanya menyedari betapa besarnya saiz lawan saya ini apabila ikan ini di permukaan air buat kali pertama,” katanya.
Pertarungan sengit untuk menaikkan ikan tersebut itu berlarutan lebih 30 minit.
Ketika Schafer bertungkus-lumus menahan henjutan ikan berkenaan, Cremers memainkan peranan penting mengemudi bot bagi melawan tiupan angin kencang agar tali pancing tidak putus.
Sebaik sahaja tiba di tebing, juri kejohanan mengesahkan ukuran spesimen luar biasa itu mencecah 2.92m. – AGENSI
The post Otai naikkan ‘raksasa’ air tawar hampir 3 meter appeared first on Kosmo Online.
