
Oura Ring 5 dilancarkan di Malaysia dengan ciri pemantauan kesihatan yang lebih menyeluruh serta keselesaan untuk dipakai setiap hari. Kehadirannya menambah pilihan baharu dalam segmen cincin pintar yang semakin mendapat perhatian di pasaran ini.

Oura Ring 5 diperabuat daripada titanium ringan dengan salutan khas yang menjadikan permukaannya lebih keras dan tahan calar. Ia turut hadir dengan penarafan IP68 serta mampu bertahan di dalam air sehingga kedalaman 100 meter. Cincin pintar ini juga dilengkapi sistem sensor baharu yang lebih nipis, menggunakan LED terkini bersama 12 sensor pengesanan bagi memastikan bacaan kesihatan lebih tepat pada pelbagai bentuk jari dan tona kulit.


Sorotan utama Oura Ring 5 ialah sistem Health Radar, iaitu pemantauan kesihatan berterusan yang dibangunkan daripada fungsi Symptom Radar sebelum ini. Melalui teknologi ini, pengguna boleh mengetahui tahap tenaga harian dengan Readiness Score yang menilai suhu badan, kadar denyutan jantung dan kualiti tidur.

Fungsi Illness Detection pula membantu mengesan perubahan fisiologi untuk memberi amaran awal jika tubuh menunjukkan tanda-tanda sakit. Sementara itu, ciri Resilience memantau keupayaan tubuh pulih daripada tekanan harian, manakala Daytime Stress membantu mengenal pasti punca tekanan serta cara pemulihan dengan lebih cepat.

Ia juga dipadankan dengan dua fungsi tambahan iaitu Blood Pressure Signals yang menjejak corak tekanan kardiovaskular serta Nighttime Breathing Monitoring yang memberikan gambaran selama 30 hari mengenai corak pernafasan ketika tidur. Ciri Bedtime Guidance turut melengkapi sistem ini dengan peringatan tentang waktu tidur paling sesuai bagi meningkatkan kualiti rehat.
Selain itu, cincin pintar ini turut menyokong penjejakan pergerakan, kadar pernafasan, HRV, kadar denyutan jantung serta pengesanan tahap oksigen dalam darah. Ia juga menyediakan fungsi khusus untuk kesihatan wanita dengan integrasi bersama aplikasi kawalan kelahiran dan kesuburan seperti Flo dan Clue.

Bateri Oura Ring 5 mampu bertahan sehingga satu minggu dengan sekali caj, manakala pengecasan penuh hanya mengambil masa sekitar 80 minit. Cincin pintar ini turut serasi dengan peranti iOS dan Android bagi memastikan ia boleh digunakan dengan lancar pada kedua-dua sistem tersebut.

Bagi yang berminat, Oura Ring 5 kini rasmi dijual di Malaysia dengan harga bermula RM1,999 untuk pilihan warna Black dan Silver. Sementara itu, varian Brushed Silver, Stealth dan Deep Rose ditawarkan pada harga RM2,499. Cincin pintar ini hadir dalam saiz 6 hingga 13, dan pengguna digalakkan mengukur saiz jari terlebih dahulu sebelum membuat pembelian bagi memastikan keselesaan pemakaian.
Perlu ditegaskan bahawa setiap pembelian cincin Oura kini hadir dengan syarat baharu yang tidak boleh diabaikan. Pengguna diwajibkan melanggan Oura Membership terlebih dahulu untuk menggunakannya secara penuh. Syarikat menawarkan percubaan percuma selama sebulan bagi setiap pembelian baharu. Selepas tempoh tersebut, langganan berbayar diperlukan untuk terus menikmati ciri premium. Keahlian ini boleh dibatalkan pada bila-bila masa melalui aplikasi, namun akses penuh akan ditamatkan sebaik sahaja kitaran bil semasa berakhir.

Bersempena dengan pelancaran ini, orang ramai dijemput hadir ke PopUp Store yang sedang berlangsung di Harvey Norman Mid Valley Megamall KL sehingga 31 Ogos 2026. Sepanjang tempoh ini, pengunjung berpeluang mencuba sendiri cincin pintar ini secara langsung.


