Ozlynn pernah terima nafkah RM1 daripada Johan, kenang zaman susah. 'Anak sulung merasa minum air paip'

LocalFamily & Parenting
2 Apr 2026 • 10:21 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

DALAM kehidupan berumah tangga, bukan semua pasangan dikurniakan rezeki untuk terus menikmati kesenangan. 

Begitulah kisah yang dikongsikan oleh pelakon Ozlynn Wati, yang menyentuh hati ramai apabila mengenang detik awal kehidupannya bersama suami Johan Raja Lawak.

Mendirikan rumah tangga dengan Johan pada tahun 2009, Ozlynn atau nama penuhnya  Rozlinawaty Ismail, 45, keikhlasan dan pengorbanan lelaki kesayangannya itu dalam menjalankan tugas sebagai suami benar-benar membuatnya tersentuh. 

Biarpun Ozlynn bekerja dan mempunyai pendapatan lebih banyak daripada Johan, pelawak itu tidak pernah lupa menunaikan tanggungjawab untuk memberikan nafkah.

"Hidup dengan suami aku dulu, dia kais pagi malam, kadang-kadang tiada apa nak makan. Tapi sebab kerja aku bagus, dapat tolong suami aku. 

"Sampai pernah dia bagi nafkah kepada aku RM1 sahaja. Aku ambil duit itu, aku cakap aku terima sambil senyum," kongsinya.

image is not available

Malah, ketika itu, Johan tetap berusaha menjalankan tanggungjawabnya walaupun dalam keadaan serba kekurangan, demi memastikan sebagai suami dia tidak pernah mengabaikan amanah.

Adakalanya, usaha Johan demi menyara keluarga membuatkan Ozlynn terharu.

"Dia suruh aku tolong doakan semoga ALLAH bantu dia. Aku terus pergi masuk bilik air. 

"Aku menangis sampai sakit tekak aku. Bukan sebab jumlah nafkah, tapi cara dia merendahkan maruah dia depan aku. Dan aku nampak usaha dia cari rezeki. 

"Maka aku doa minta ALLAH bantu. Alhamdulillah sekarang dia senang. Dia tak pernah lupakan aku," luah Ozlynn.

Lebih memilukan, ketika memberi komen kepada warganet,ibu kepada enam cahaya mata itu mendedahkan kesukaran dihadapi anak sulungnya ketika melalui zaman penuh kesukaran itu.

image is not available

"Ketahuilah apabila awak reda bantu suami dan doakannya, insya-ALLAH pasti ada sahamnya. Jika tidak sekarang mungkin akan datang.

"Saya teman husband struggle bertahun, sampai anak sulung merasa minum air paip, mandi di stesen minyak. 

"Saya mendoakan semoga kita semua kaum isteri kuat dan tabah hadap ujian ALLAH dan sentiasa lakukan yang terbaik untuk suami dan anak-anak.

"Buat kaum suami yang struggle mencari rezeki, semoga ALLAH lancarkan rezeki kalian seperti derasnya air lautan, aamiin," kongsinya.

Hantarannya itu menerima pelbagai reaksi warganet. Rata-rata bersetuju dengan prinsip Johan yang mencari harta untuk isteri.

"Dan sekarang memang Johan kata harta aku bukan untuk anak anak aku. Anak anak aku bagi pelajaran, pandailah korang cari rezeki. Selagi hidup, harta aku untuk isteri aku."

"Hebatnya doa seorang isteri. Daripada suami nothing to something. Apabila isteri doa untuk suami dengan penuh ikhlas dan yakin, ALLAH mesti makbulkan."

"Isteri solehah, dengan reda suami dapat memilih untuk memasuki syurga dari mana-mana pintunya."

Sekadar info, Johan dan Ozlynn mendirikan rumah tangga pada 25 Julai 2009. 

Mereka turut dikurniakan enam cahaya mata iaitu Ahmad Ariq Hanania, Ahmad Sodiq Hanania, Ahmad Haziq Hanania, Nur Latifah Chantiq Hanania, Nur Latifah Moleiq Hanania, dan Nur Latifah Cherdiq Hanania.