P.Pinang tubuh panel penyemak bebas kenal pasti gangguan bekalan air

21 Jul 2022 • 1:55 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GEORGE TOWN: Pulau Pinang akan menubuhkan panel penyemak bebas terdiri daripada pakar dalam bidang kejuruteraan air dan pengurusan lembangan tadahan air bagi mengenal pasti faktor gangguan bekalan air yang berlaku di negeri itu, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata panel itu juga akan membincangkan, meneliti dan mengkaji semua maklumat yang terkandung dalam laporan “post-mortem” yang telah disediakan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

“Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang yang bersidang semalam telah menerima laporan post mortem gangguan bekalan air daripada PBAPP, yang berlaku dari 6 hingga 11 Julai lepas. Kami juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah panel penyemak bebas untuk melaksanakan beberapa tugas penting.

“Selain itu, setelah perbincangan lanjut, kerajaan negeri juga telah mengarahkan pihak PBAPP untuk menambah baik laporan tersebut dengan perincian yang lebih mendalam,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata panel penyemak bebas itu juga berperanan untuk mengenal pasti kelemahan dan pihak bertanggungjawab terhadap masalah gangguan bekalan air tersebut.

Zairil berkata selain itu, panel tersebut juga berperanan untuk mencadangkan kepada kerajaan negeri langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan selain mengenal pasti kelemahan serta pihak bertanggungjawab terhadap masalah berkenaan.

“Barisan panel itu juga akan mencadangkan langkah jangka pendek, sederhana pendek dan jangka panjang bagi penyelesaian krisis air yang berlaku, langkah-langkah yang perlu diambil bagi mencegah krisis air daripada berulang pada masa hadapan,“ katanya.

Menurutnya keahlian panel penyemak bebas akan dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat serta akan diberi masa dua hingga tiga bulan untuk memuktamadkan dapatan mereka.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata kerajaan negeri menggesa PBAPP untuk menjalankan “post mortem” segera berhubung kejadian gangguan bekalan air selama enam hari di negeri itu supaya kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.

Masalah gangguan bekalan air itu berikutan penutupan sementara Loji Rawatan Air Sungai Dua disebabkan kekeruhan air mentah yang luar biasa tinggi dari Sungai Muda berikutan banjir di Baling dan ia mengakibatkan 80 peratus atau 528,000 daripada 660,000 pemegang akaun di seluruh negeri terputus bekalan air.-Bernama