
Untuk pertama kali dalam sejarah Amerika, bekas Presiden telah didapati bersalah atas kesalahan jenayah. Sebentar tadi, barisan juri telah sebulat suara bersetuju untuk mendakwa Donald Trump atas kesalahan membayar wang “tutup mulut” kepada bekas pornstar.
Salah seorang peguam Trump, Susan R. Necheles mengatakan bahawa bekas presiden ini dijangka akan menyerahkan dirinya untuk dihadapkan ke Mahkamah Agung Manhattan.

Tak lama selepas keputusan juri ini didedahkan, Trump telah mengeluarkan kenyataan dan mengatakan dakwaan tersebut sebagai “penganiayaan politik” dan mendakwa pendakwa raya Alvin Braggs telah diupah oleh pihak Demokrat.
Sejak saya turun eskalator emas di Menara Trump dan sebelum mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat, Demokrat Radikal (haluan) Kiri telah berusaha keras untuk memusnahkan gerakan ‘Make America Great Again’.”
Dakwaan beri duit ‘tutup mulut’ kepada pornstar
Stormy Daniels atau nama sebenarnya Stephani Clifford mengatakan bahawa dia telah menerima duit sebagai pertukaran untuk tidak membuka mulut mengenai pertemuan seksual antara dia dengan Donald Trump.
Malah, bekas peguam peribadi Trump, Michael Cohen mengaku bahawa dia telah mengaturkan pembayaran kepada Daniels dan wanita kedua, bekas model Playboy Karen McDougal yang turut mendakwa pernah menjalinkan hubungan seksual dengan bekas presiden itu.
Cohen mengaku bahawa dia telah membayar sebanyak US$130,000 (RM573,170) kepada Daniels ketika hari-hari terakhir kempennya untuk menjadi presiden pada 2016. Duit tersebut dikatakan telah dibayar balik oleh Trump secara ansuran dengan mengatakan pembayaran tersebut sebagai “transaksi peribadi”.

Trump bagaimanapun telah menafikan bahawa dia mempunyai hubungan sulit dengan dua wanita tersebut serta turut mengatakan dia tidak mengetahui apa-apa tentang bayaran yang dibuat kepada Daniels.
Sebelum ini, Cohen telah mengaku bersalah atas tuduhan sumbangan kempen haram dan dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara.
Apa yang akan berlaku kepada Trump?
Trump perlu hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan ke atasnya dan dia perlu menyerahkan dirinya di Manhattan dan akan dimasukkan ke dalam lokap. Gambar mug shot dan cap jari juga akan diambil. Namun begitu, ekoran hubungannya yang kuat dengan masyarakat dan kempen presidennya 2024 yang masih berlangsung, hakim mungkin akan membebaskannya dengan ikat jamin.
Trump juga dijangka akan mengaku tidak bersalah dan Cohen akan menjadi saksi utama atas peranannya dalam transaksi tersebut.
Untuk pengetahuan korang, sebelum ni belum ada bekas presiden mahu pun presiden AS yang pernah berhadapan dengan dakwaan jenayah.

Selain kes ini, Trump juga sedang disiasat atas dua lagi kes jenayah oleh Pendakwa Raya AS Merrick Garland dan satu kes jenayah oleh pendakwa raya tempatan di Georgia.
Sebelum ini, Trump pernah terlepas dari dakwaan undang-undang beberapa kali. Ketika dia menjadi Presiden, dia telah berjaya menggagalkan usaha kongres untuk membuangnya dari jawatan termasuk siasatan atas serangan terhadap US Capitol pada Januari lalu oleh penyokongnya dan siasatan mengenai hubungan kempennya dengan Rusia pada tahun 2016.
Dalam kes penipuan cukai tahun lalu pula, Bragg telah cuba menyasarkan perniagaan Trump namun enggan mendakwa Trump dengan jenayah kewangan hingga menyebabkan dua pendakwa raya yang terlibat dalam siasatan tersebut meletak jawatan.
Dalam kes duit ‘tutup mulut’ ini pula, pakar undang-undang mengatakan Bragg perlu bergantung pada teori undang-undang untuk membuktikan Trump memalsukan rekod perniagaannya untuk menutup jenayah lain seperti melanggar undang-undang kewangan kempen persekutuan.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

