johardy18/11/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sekali lagi menggesa Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) memastikan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) terus menerbitkan laporan kewangan secara berkala selepas penyahsenaraiannya daripada Bursa Malaysia.
PAC berkata pendedahan kewangan kepada umum penting bagi membolehkan perbelanjaan untuk projek bermodal besar diteliti, termasuk projek Aerotrain, sistem pengendalian bagasi dan kerja pembesaran lapangan terbang.
Penyahsenaraian MAHB, menurut PAC, tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengurangkan akauntabiliti awam dalam pengurusan aset strategik itu.
Jawatankuasa itu menegaskan kesemua 39 lapangan terbang awam di Malaysia kekal sebagai aset strategik milik kerajaan di bawah perjanjian operasi.
PAC mahu syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) mengekalkan pegangan gabungan sekurang-kurangnya 70% dalam MAHB, manakala Menteri Kewangan (Diperbadankan) perlu mengekalkan saham emasnya.
Sebarang cadangan perubahan struktur pemilikan yang membabitkan kepentingan strategik negara perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri dan dilaksanakan secara telus, menurut PAC.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata demikian pada sidang media di Parlimen selepas jawatankuasa itu membentangkan laporan susulan mengenai pengurusan lapangan terbang awam di Dewan Rakyat. Laporan itu menyusuli pembentangan dapatan PAC pada 1 Julai dan prosiding pada 5 Okt, apabila jawatankuasa itu meneliti maklum balas kedua-dua kementerian serta MAHB terhadap lapan syor.
PAC gesa tindakan lebih tegas terhadap kartel kontraktor
PAC turut menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap kartel kontraktor dan amalan monopoli bagi mengelakkan masalah berulang pada kemudahan asas lapangan terbang.
“Kartel kontraktor dan amalan monopoli yang melibatkan kontraktor tidak kompeten mesti dihapuskan bagi memastikan masalah kemudahan asas seperti tandas rosak, bumbung bocor dan gangguan operasi jambatan udara tidak berulang,” kata Mas Ermieyati.
PAC mengakui langkah yang telah diambil MAHB, termasuk menilai prestasi vendor, melaksanakan penggiliran kontraktor di lima wilayah dan memperketat proses usaha wajar korporat.
MAHB turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk memperkukuh pengawasan terhadap kontraktor.
PAC mahu penguatkuasaan dijalankan secara berterusan tanpa pilih kasih, selain mengenakan penalti kewangan yang lebih berat di bawah rangka kerja Kualiti Perkhidmatan (QoS) CAAM.
Jawatankuasa itu berkata kelemahan penyelarasan antara kementerian, agensi dan pihak industri menjejaskan produktiviti serta menyumbang kepada pembaziran sumber awam.
Mas Ermieyati menggesa penyelarasan yang lebih rapi dalam perancangan jangka panjang lapangan terbang serta penglibatan lebih besar Malaysia Aviation Group (MAG), AirAsia dan Batik Air, khususnya dalam operasi darat seperti pengendalian bagasi dan perkhidmatan sokongan pesawat. - DagangNews.com






