
JASIN – Aksi berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang tular di media sosial akhirnya membawa padah apabila dia dan kekasihnya dijatuhi hukuman penjara serta denda oleh Mahkamah Majistret Jasin.
Tertuduh, Arif Fahmi Abd Salam, 36, dijatuhi hukuman penjara 12 bulan, manakala kekasihnya, Nur Adila Najwa Ilham Ameerrullah, 21, dipenjara enam bulan. Kedua-duanya turut didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman tersebut selepas menerima pengakuan bersalah pasangan berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didapati memandu sebuah bas ekspres dengan cara berbahaya kepada orang awam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan sekitar jam 7.30 petang pada 12 April lalu.
Perbuatan itu dilakukan ketika bas berkenaan membawa 27 penumpang, sekali gus membahayakan nyawa mereka.
Kes Tular Cetus Kebimbangan Awam
Kes didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu.
Selain itu, Nur Adila Najwa turut berdepan satu lagi pertuduhan kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang penumpang wanita berusia 44 tahun sehingga mengganggu ketenteraman awam.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Asri Abd Rahman Sidik dan Noor Syazwani Mohamad Yusri, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam rayuan, Arif Fahmi memohon hukuman ringan dengan alasan telah kehilangan pekerjaan serta perlu menyara keluarga.
Nur Adila Najwa pula merayu hukuman diringankan kerana masih muda dan baru mendapat tawaran menyambung pengajian selepas memperoleh keputusan SPM yang baik.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan perbuatan tertuduh sangat serius kerana melibatkan keselamatan jalan raya serta nyawa orang awam, lebih-lebih lagi ketika kejadian terdapat 27 penumpang di dalam bas tersebut.
Mahkamah turut dimaklumkan lesen memandu Arif Fahmi telah tamat tempoh sebelum kejadian, menjadikan kesalahan itu lebih berat.
Mahkamah kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan. Mereka juga berdepan tambahan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda, selain hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun.
Terdahulu, video berdurasi lapan saat memaparkan aksi pemandu bas meriba seorang wanita ketika memandu tular di media sosial, mencetuskan kemarahan serta kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan pengangkutan awam. – The Malaysian Update
The post Padah Buat Aksi Bahaya: Pemandu Bas & Kekasih Dipenjara, Didenda RM5,000 appeared first on The Malaysian Update.






