JASIN - Wanita kepada pemandu bas yang tular memandu bas sambil diriba kekasihnya merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat keputusan 8A 2B kira-kira tiga tahun lalu.
Pernyataan tersebut dibuat Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dihadapinya di Mahkamah Majistret Jasin, pada Jumaat.
Nur Adila dan kekasihnya, Arif Fahmi Abd Salam, 36, didakwa secara bersama-sama di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 2020) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam.
Perbuatan itu dilakukan pada Ahad lalu sekitar jam 7.30 malam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dalam daerah Jasin.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
Dalam prosiding sama, Nur Adila turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina seorang penumpang wanita berusia 44 tahun yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.
Nur Adila dalam nada sebak memohon hukuman ringan kerana masih muda dan mahu menyambung pelajaran.
“Saya mengaku salah. Umur saya baru 21 tahun dan tinggal bersama nenek sejak saya masih bayi.
“Saya memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM, namun terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan.
“Selepas nenek meninggal dunia, tiada siapa yang menanggung saya, lalu saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan berharap dapat menyambung pelajaran,” katanya.
Selepas mendengar rayuan tersebut, mahkamah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM5,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi Seksyen 42(1) APJ 1987.
Selain itu Nur Adila turut didenda RM100 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Majistret Mazana Sinin berkata, tindakan tertuduh jelas mengabaikan keselamatan walaupun tiada kemalangan berlaku dan berharap hukuman itu dijadikan pengajaran.






