
TINDAKAN nekad seorang pelajar mengundurkan diri daripada sebuah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Johor akhirnya membongkar perbuatan khianat enam pelajar Tingkatan 5 yang didakwa menjadi dalang kes buli di institusi berkenaan. Kesemua suspek kini dilaporkan telah ditahan reman oleh pihak polis bagi membantu siasatan.
Isu yang sedang tular itu mendapat perhatian serius Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Menerusi satu hantaran di media sosial miliknya, beliau menegaskan MARA tidak akan berkompromi dan bakal mengambil tindakan paling tegas terhadap pelaku.
"Saya amat berdukacita, kesal dan kecewa kerana masih berlaku perbuatan buli yang dikhabarkan kepada saya melalui media sosial (Thread) oleh ibu bapa mangsa, yang diketahui perbuatan tersebut hanya selepas beliau minta ibu bapanya untuk keluar daripada MRSM.
"Saya telah mengarahkan Bahagian Pendidikan Menengah MARA dan pihak pentadbir MRSM supaya mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) dengan kadar segera dalam tempoh satu hari untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas!
"Menyingkirkan pelajar-pelajar yang terbabit dengan perbuatan ini walau dengan apa juga alasan. Perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri kononnya untuk mendisiplinkan pelajar-pelajar junior adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan dikompromi," tuturnya.

Mengulas lanjut, Ashraf menegaskan keputusan drastik itu adalah selaras dengan penguatkuasaan prinsip 'you touch, you go!' yang menjadi pegangan disiplin di institusi pendidikan di bawah seliaannya.
"Saya selalu tekankan, you touch, you go! Amaran ini berkali-kali telah saya berikan kepada semua pelajar-pelajar. Kalau ada saja perbuatan buli, kalian tiada tempat di MRSM!
"Buat pelajar-pelajar, jangan takut untuk melaporkan perbuatan buli. Jangan mengambil tindakan keluar daripada MRSM kerana tidak tahan dengan buli.
"Perbuatan ini harus kita kekang dan harus kita laporkan kepada pihak pentadbir MRSM. Kalau ada sebarang bentuk tindakan untuk menyorokkan perbuatan ini, pasti pihak MARA akan mengambil tindakan tegas," kongsinya.
Terdahulu, hantaran seorang ibu tular di aplikasi Threads selepas berkongsi luahan hati anaknya yang meminta untuk keluar dari MRSM tersebut kerana tidak tahan dengan situasi buli yang dialami.
Hal itu juga membongkar buli fizikal dialami pelajar berkenaan termasuk tumbuk dan terajang pada dada serta disiku pelajar senior.
Rentetan daripada itu, kisah hitam akhirnya terbongkar apabila mangsa mendakwa sering menjadi sasaran buli fizikal pelajar senior termasuk ditumbuk, diterajang pada bahagian dada serta disiku.
Lebih mengejutkan, hantaran itu turut mendedahkan ramai lagi pelajar junior yang menjadi mangsa keganasan senior terbabit, namun kebanyakan mereka memilih untuk berdiam diri kerana ketakutan.
Susulan pendedahan itu, pihak keluarga mangsa dilaporkan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.






