
Kota Kinabalu: Seorang pendatang tanpa izin Filipina berusia 47 tahun yang membiarkan tiga kanak-kanak - seorang daripadanya anak perempuannya - menjual buah-buahan di jalanan selama hampir 12 jam, enam hari seminggu, dipenjara sembilan tahun dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara lagi, pada Rabu.
Awala Antualang, yang menggunakan Kad Burung Burung sebagai dokumennya, mengaku bersalah di hadapan tiga Hakim Mahkamah Sesyen kepada tiga pertuduhan berasingan terhadapnya.
Mahkamah mendengar bahawa Awala meminta kanak-kanak itu menjual buah-buahan di tempat berlainan dan kanak-kanak itu akan pulang selepas semuanya dijual.
Awala kemudiannya akan mengambil semua wang yang diperoleh kanak-kanak itu dan memberi mereka cuti sehari setiap minggu.
Bagi pertuduhan pertama, Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun kerana membiarkan seorang budak lelaki berusia 11 tahun di bawah jagaannya menjual buah-buahan dari jam 11 pagi hingga 11 malam antara Januari dan akhir Februari tahun ini.
Bagi pertuduhan kedua, Hakim Hurman Hussain juga menjatuhkan hukuman tiga tahun kerana melakukan kesalahan serupa terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun di kawasan Aeropod dari 12.30 tengah hari hingga 11 malam, juga pada Januari dan Februari tahun ini.
Bagi pertuduhan ketiga, Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun lagi serta denda RM2,000 atau penjara dua bulan kepada Awala kerana membiarkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang juga di bawah jagaannya, berada di kawasan Harbour City KK untuk menjual buah-buahan dari 12.30 tengah hari hingga 10 malam, juga pada Januari dan Februari tahun ini.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(1) Akta yang sama, membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Awala menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap dan dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai hukuman.
Semasa rayuan, Awala yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan dengan mengatakan dia mempunyai sembilan anak dan merupakan ibu tunggal.
Dia memberitahu mahkamah bahawa anak-anaknya masih kecil dan anak sulungnya berusia 21 tahun dan ditahan kerana mempunyai Kad Burung Burung.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan sebagai amaran kepada orang lain yang mungkin melakukan perkara sama membabitkan kanak-kanak.
Dacian menambah orang ramai harus tahu bahawa Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf setiap kanak-kanak berhak mendapat perlindungan dalam semua keadaan tanpa mengira perbezaan dalam apa jua jenis seperti bangsa, asal usul sosial atau apa-apa status lain.
Awala mempunyai dua pertuduhan lain terhadapnya dan pengakuannya ditolak kerana dia memberitahu mahkamah bahawa dia tidak tahu perbuatannya terhadap kanak-kanak itu adalah kesalahan.
Dua pertuduhan menyatakan Awala juga didakwa meminta dua anaknya berusia 11 dan 12 tahun untuk menjual buah-buahan selama hampir 12 jam di tempat berbeza di jalanan.
Mahkamah menetapkan 22 April untuk pengurusan kes pra-perbicaraan.



