Padah main mercun atas kereta bergerak, 4 termasuk wanita ditahan

LocalPolitics
29 Mar 2026 • 5:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian berhubung aksi berani mati lelaki main mercun atas kereta bergerak

SHAH ALAM – Seorang wanita antara empat individu yang ditahan pada Sabtu berkaitan kes bermain mercun secara berbahaya dari dalam kenderaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 2.30 petang melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di kawasan Sungai Buloh dan Seksyen 9 di sini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

"Dalam tangkapan ini, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Satria, sebuah telefon bimbit serta sebatang mercun yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

"Kesemua tangkapan telah direman selama tiga hari sehingga 31 Mac untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, media melaporkan aksi berbahaya seorang lelaki dipercayai bermain mercun dari dalam sebuah kereta yang sedang bergerak mengundang padah selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.