Padah 'menunjuk' di media sosial

LocalCars
16 May 2026 • 4:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Padah 'menunjuk' di media sosial
Polis menahan remaja berusia 19 tahun selepas tular melakukan aksi berbahaya di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang remaja berusia 19 tahun yang memuat naik videonya di media sosial melakukan aksi 'wheelie' di Jalan Raja Laut di sini sehingga tular menjerat diri sendiri selepas ditahan polis pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, tangkapan dilaksanakan Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur kira-kira jam 1.30 pagi.

Menurutnya, suspek telah direman sehari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Berdasarkan rakaman tular yang dikesan di laman Instagram milik suspek, video aksi menunggang motosikal jenis Yamaha Y5ZR itu juga memaparkan tindakannya melanggar lampu isyarat merah.

"Aksi itu dipercayai berlaku kira-kira jam 2 hingga 3 pagi pada 25 April lalu," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, dalam rakaman itu, suspek dilihat memakai baju lengan panjang warna merah, seluar panjang hitam serta topi keledar hitam.

Katanya, video terbabit dimuat naik sendiri oleh suspek.

Tegas beliau, JSPT Kuala Lumpur memandang serius sebarang tindakan pengguna jalan raya yang melakukan aksi berbahaya serta melanggar peraturan lalu lintas sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak menjadikan jalan awam sebagai lokasi aksi berbahaya demi keselamatan semua pihak," ujarnya.