Kes Bunuh Pemuda OKU - Pasangan Suami Isteri Direman

16 May 2026 • 3:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Kes Bunuh Pemuda OKU - Pasangan Suami Isteri Direman

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri direman oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan pembunuhan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang maut selepas dipercayai dipukul di Bachok bulan lalu.

Lelaki berusia 26 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga 22 Mei, manakala isterinya yang berusia 27 tahun direman selama lima hari sehingga 20 Mei.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pasangan terbabit tiba di pekarangan mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi dengan memakai pakaian lokap, bergari dan diiringi anggota polis.

Penahanan terbaharu itu dibuat selepas mahkamah sama pada Jumaat lalu membenarkan lanjutan reman terhadap dua lagi suspek lelaki berusia 25 tahun selama enam hari sehingga Rabu depan, bagi membantu siasatan kes sama.

Dalam kejadian 15 April lalu, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, seorang OKU pembelajaran meninggal dunia selepas diserang di Ladang Merdeka Cherbu, Padang Lati, Bachok.

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah malam ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Siasatan polis berhubung kejadian masih diteruskan. – Getaran, 16 Mei 2026