Padah mulut! Lelaki ditahan selepas didakwa persenda Jaslinda, Tok Batin. Polis terima 11 laporan 

LocalPolitics
11 Jun 2026 • 10:50 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Padah mulut! Lelaki ditahan selepas didakwa persenda Jaslinda, Tok Batin. Polis terima 11 laporan 

TINDAKAN seorang pengguna TikTok yang mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu akhirnya memakan diri. Lelaki berusia lingkungan 30-an itu kini telah ditahan pihak polis.

Isu ini timbul ekoran penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin, yang sebelum ini dilaporkan hilang.

Menurut Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim, suspek telah ditahan di kediamannya yang terletak di Ipoh sekitar jam 1 tengah hari pada Khamis.

"Polis akan mendapatkan permohonan reman terhadap lelaki itu di mahkamah esok (Jumaat) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Difahamkan, semasa membuat siaran langsung TikTok, lelaki berkenaan mendakwa kononnya Jaslinda telah ‘dijaga’ oleh Tok Batin terbabit selama dua minggu dan mendakwa jika perkara terbabit tidak tular berkemungkinan Tok Batin akan berkahwin dengan wanita berkenaan.

Image from: Padah mulut! Lelaki ditahan selepas didakwa persenda Jaslinda, Tok Batin. Polis terima 11 laporan 

Dakwaan tidak berasas itu menggores hati masyarakat Orang Asli. Kesannya, kira-kira 50 Tok Batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari tiga daerah (Batang Padang, Muallim, dan Kinta) tampil membuat laporan polis rasmi.

Setakat ini, pihak berkuasa telah menerima sebanyak 11 laporan polis berkaitan kes sensitif ini.

Siasatan tetap diteruskan walaupun lelaki berkenaan sudah minta maaf.  Walaupun sedar diri sudah 'terlajak kata' dan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial, pihak polis menegaskan bahawa siasatan akan diteruskan berdasarkan peruntukan sedia ada.

Kes berkenaan kini disiasat di bawah beberapa seksyen termasuk Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Sabtu lalu, Jaslinda, 49, ditemui selamat oleh penduduk Kampung Lubuk selepas hilang selama 14 hari sejak 24 Mei lalu ketika melakukan pendakian gunung berketinggian sekitar 2,132 meter itu.

Sumber: Sinar Harian