Pengguna TikTok aibkan Tok Batin, Jaslinda sudah ditahan

LocalPolitics
11 Jun 2026 • 7:41 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pengguna TikTok aibkan Tok Batin, Jaslinda sudah ditahan
Individu berkenaan tampil membuat permohonan maaf susulan kontroversi melibatkan sesi siaran langsungnya yang didakwa mempersendakan Tok Batin dan Jaslinda.

TAPAH - Seorang pengguna TikTok yang didakwa memfitnah dan mengaibkan Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu berhubung penemuan pendaki wanita, Jaslinda Saludin telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan di kediamannya di Ipoh sekitar jam 1 tengah hari pada Khamis.

"Polis akan mendapatkan permohonan reman terhadap lelaki itu di mahkamah esok (Jumaat) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kertas siasatan bagi kes tersebut dibuka mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

"Setakat ini, sebanyak 11 laporan polis berkaitan kes itu telah diterima," katanya.

Terdahulu, semasa bersiaran langsung, lelaki itu mendakwa bahawa Jaslinda telah ‘dijaga’ oleh Tok Batin selama dua minggu sebelum berjaya ditemukan penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Dakwaan tidak berasas itu mendorong kira-kira 50 tok batin dan wakil masyarakat Orang Asli dari daerah Batang Padang, Muallim dan Kinta tampil membuat laporan polis.

Media melaporkan, meskipun lelaki berkenaan telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka, polis akan meneruskan siasatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.