Padang Stadium Nasional cantik, baik menjelang aksi Malaysia-Timor-Leste

LocalFootball
11 Dec 2024 • 7:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keadaan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil kelihatan diselenggara dengan baik dan tampak bersedia menjelang perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Timor-Leste di sini malam ini.

KEADAAN permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil kelihatan diselenggara dengan baik dan tampak bersedia menjelang perlawanan kedua Kumpulan A Piala ASEAN 2024 antara Malaysia dan Timor-Leste di sini malam ini.

Berdasarkan tinjauan Bernama, kekemasan dan kehijauan rumput padang yang bercorak "papan dam" begitu menyerlah, terutama selepas hujan lebat membasahi stadium keramat skuad Harimau Malaya itu kira-kira lima jam sebelum sepak mula.

Hujan lebat hampir 30 minit itu bagaimanapun tidak menjejaskan keadaan padang dan tidak ditakungi air.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) memastikan keadaan padang berada pada tahap optimum.

"Kita sentiasa menjaga kualiti padang supaya perlawanan membabitkan Harimau Malaya berlangsung tanpa sebarang masalah. Pada masa sama, kita juga menggunakan penutup baharu bagi melindungi padang daripada rosak," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Sebelum ini, padang Stadium Nasional sering menjadi tumpuan peminat dan pemerhati apabila melibatkan perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan.

Pada final Pestabola Merdeka 2024 yang menyaksikan Malaysia menumpaskan Lubnan 1-0 September lepas, pemain pertahanan negara dan Sabah FC Dominic Tan terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan, didakwa disebabkan keadaan padang yang teruk.

Rentetan kecederaan dialami Dominic, Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee membangkitkan kebimbangan mengenai keadaan padang teruk yang boleh mendatangkan risiko kepada keselamatan pemain dan mengurangkan kualiti keseluruhan permainan.

Malaysia di bawah bimbingan Pau Marti Vicente kini berada pada ranking ke-132 dunia berbanding Timor-Leste ke-196.

Berdasarkan rekod, pasukan negara menang kesemua tujuh pertemuan dengan Timor-Leste dengan kali terakhir merakam kemenangan 5-1 pada pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun 2019.

Pada aksi pembukaan kumpulan Ahad lepas, Malaysia seri 2-2 dengan Kemboja di Phnom Penh sementara Timor-Leste dibelasah Thailand 10-0 di Hanoi, Vietnam. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved