hamden27/04/2026 - 18:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 April - Padini Holdings Bhd mengesahkan sebanyak 21 akaun bank milik syarikat dan beberapa anak syarikatnya telah dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata akaun yang terlibat merangkumi tiga akaun di bawah Padini Holdings, empat akaun di bawah Yee Fong Hung (Malaysia) Sdn Bhd dan tujuh akaun di bawah Padini Corporation Sdn Bhd.
Selain itu, empat akaun lagi melibatkan Padini Dot Com Sdn Bhd, satu akaun di bawah Seed Corporation Sdn Bhd serta dua akaun di bawah Vincci Ladies’ Specialties Centre Sdn Bhd.
Padini menjelaskan tiada satu pun daripada anak syarikat tersebut merupakan anak syarikat utama seperti yang ditakrifkan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.
Pengumuman itu menyusuli kenyataan sebelum ini mengenai sebahagian akaun bank kumpulan telah dibekukan pada 24 April 2026 susulan perintah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung siasatan melibatkan pihak luar yang mempunyai urusan dengan kumpulan tersebut.
Padini menegaskan pihak luar berkenaan bukan pekerja, pegawai mahupun sebahagian daripada pengurusan syarikat.
“Syarikat ingin menegaskan bahawa berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku terhadap pihak kami dan memahami bahawa pembekuan ini merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan,” menurut kenyataan syarikat bertarikh 25 April.
Operasi tidak terjejas
Walaupun akaun dibekukan, Padini menegaskan operasi harian kumpulan kekal berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan terhadap aktiviti perniagaan.
Kumpulan itu turut memaklumkan telah melantik penasihat undang-undang luar serta sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya, termasuk memohon pelepasan bagi mencairkan akaun yang terjejas. - DagangNews.com





