Cropmate sahkan akaun dibekukan SPRM, operasi kekal berjalan lancar

LocalBusiness & Finance
27 Apr 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Cropmate sahkan akaun dibekukan SPRM, operasi kekal berjalan lancar Image from: Cropmate sahkan akaun dibekukan SPRM, operasi kekal berjalan lancar hamden27/04/2026 - 09:15 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 April - Cropmate Berhad mengesahkan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak-anak syarikatnya telah dibekukan sementara oleh pihak berkuasa, namun menegaskan operasi harian kumpulan kekal tidak terjejas.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat pengeluar baja itu berkata, pembekuan tersebut dimaklumkan pada 24 April lalu di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

 

Menurut Cropmate, tindakan itu diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai sebahagian daripada prosedur standard dalam siasatan yang sedang dijalankan.

 

“Berdasarkan maklumat semasa, lembaga pengarah tidak mempunyai sebarang petunjuk bahawa perkara ini berpunca daripada salah laku pihak pengurusan atau kakitangan kumpulan,” katanya.

 

Syarikat turut memaklumkan sedang bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa berkaitan bagi membantu siasatan, selain mengambil langkah sewajarnya untuk mendapatkan pelepasan akaun terlibat di bawah Seksyen 44A AMLATFA.

 

Dalam masa sama, Cropmate menegaskan ia masih mempunyai akses kepada kemudahan perbankan alternatif bagi memastikan kelangsungan operasi perniagaan.

 

“Lembaga tidak menjangkakan sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan atau operasi syarikat. Aktiviti harian berjalan seperti biasa,” jelasnya.

 

Mengulas lanjut, lembaga pengarah berkata syarikat kekal komited untuk mematuhi semua undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa dan akan terus memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan berlangsung.

 

“Kami akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat perkembangan material,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard