'Pagi tu dah pesan naik kereta...' Isteri luluh suami pergi selamanya akibat rempuh treler, 3 anak kecil hilang tempat bergantung

19 May 2026 • 1:40 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'Pagi tu dah pesan naik kereta...' Isteri luluh suami pergi selamanya akibat rempuh treler, 3 anak kecil hilang tempat bergantung

KEMALANGAN yang meragut nyawa seorang jururawat lelaki membabitkan sebuah motosikal dan treler di Kilometer 3.8 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), baru-baru ini benar-benar meruntun hati warganet.

Mangsa, Allahyarham Afiq Safwan Sabri yang merupakan jururawat di Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) Universiti Teknologi Mara (UiTM), meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan.

Pemergian pada jam 7 pagi itu berlaku semasa Allahyarham dalam perjalanan untuk ke tempat kerja meninggalkan seorang isteri dan tiga cahaya mata yang masih kecil.

Isterinya, Natasha Zainal menerusi akaun Threads berkongsi  rasa sedih apabila terkenangkan pesanan terakhir yang sempat diberikan kepada arwah pada pagi kejadian supaya menggunakan kereta untuk ke tempat kerja.

"Pagi tu mummy dah pesan naik kereta kan bie?" titipnya.

Dalam pada itu, dia turut meluahkan rasa kehilangan dan kekecewaan terhadap pemandu lori berkenaan yang didakwa menjadi punca suaminya terkorban dalam kejadian itu.

“Sampai hati lori tu buat keluarga saya macam ni. Kami hilang tempat bergantung,” kongsinya lagi.

Image from: 'Pagi tu dah pesan naik kereta...' Isteri luluh suami pergi selamanya akibat rempuh treler, 3 anak kecil hilang tempat bergantung

Menurut wanita itu, suaminya sering berjanji akan pulang ke rumah selepas tamat bekerja, namun kali ini dia sendiri yang menjemput jenazah arwah sebelum menghantarnya ke tempat persemadian terakhir.

"Hari-hari dia cakap masa di tempat kerja, nanti 'bie' balik ya sayang. Sayang tunggu 'bie' di rumah tau. Tapi jumaat hari tu sayang jemput 'bie' balik dari tempat kerja dan sayang hantar 'bie' balik negeri abadi. Kali ini 'bie' pula tunggu sayang di syurga tau," katanya di Threads.

Dalam beberapa hantaran lain, Natasha turut memuat naik gambar suasana pengebumian arwah yang juga bapa kepada tiga cahaya mata mereka.

Image from: 'Pagi tu dah pesan naik kereta...' Isteri luluh suami pergi selamanya akibat rempuh treler, 3 anak kecil hilang tempat bergantung

Sementara itu, saudara pasangan itu, Najihah Ibrahim menerusi hantaran Facebook berkongsi kebaikan Allahyarham menyantuni isteri dan anak-anak. 

"Semoga roh Allahyarham Afiq Safwan dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.

"Anak sepupu saya, Natasha Zainal bertuahnya awak menjadi isteri Afiq. Semua orang bercakap tentang kebaikan arwah. 

"Masa dalam pantang Afiq uruskan sendiri isteri dan anak-anak. Masak makanan untuk isteri yang sedang berpantang  dan juga anak-anak. Mama kata semua Afiq buat sebab mama pun tak sihat. Baiknya Ya ALLAH!

"Masa di surau rakan-rakan sekerja  arwah dari Hospital Al Sultan Abdullah UITM Puncak Alam ramai yang ziarah tetapi mata ini tertumpu pada cantiknya balutan kafan dan nampak kemas.

"Wajahnya pun bersih dan tentunya arwah dimandi dan diuruskan dengan penuh kasih sayang dan tertib oleh rakan-rakan. Beruntungnya arwah dikelilingi orang-orang yang baik semasa hayat," titipnya.

Terdahulu, kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi itu mengorbankan mangsa di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Image from: 'Pagi tu dah pesan naik kereta...' Isteri luluh suami pergi selamanya akibat rempuh treler, 3 anak kecil hilang tempat bergantung

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal mendapati treler tanpa muatan tersebut berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami tayar pecah ketika dalam perjalanan dari Seafield ke Bukit Jelutong.

Beliau berkata, mangsa yang menunggang motosikal dari arah sama dipercayai gagal mengelak sebelum melanggar bahagian belakang kanan treler berkenaan.

Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kes disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875," katanya.

Sumber: Facebook, Sinar Harian

 

 

View Original Article