KUANTAN – Kerajaan Pahang mengharapkan pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan berhubung kelulusan eksport pasir sungai bagi meningkatkan kutipan hasil negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan anggaran semasa, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana pulangan mencecah RM500 juta.
“Hasil itu akan dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan negeri termasuk pembangunan kawasan luar bandar, perumahan rakyat, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah program Inisiatif Makmur Pahang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, aktiviti pengorekan pasir secara terkawal turut memberi manfaat kepada pengurusan sungai.
Ujarnya, ia juga membantu mendalamkan sungai, melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir khususnya ketika musim tengkujuh.
Bagi tujuan itu, beliau menambah kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan perkara tersebut secara menyeluruh.
“Saya berharap perkara ini dapat diberi pertimbangan secara positif demi mencari penyelesaian yang terbaik serta memberi manfaat kepada semua pihak khususnya kepada negeri Pahang,” jelasnya.
Tegas beliau, Kerajaan Pahang sentiasa komited memastikan setiap sumber hasil negeri diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi pulangan terbaik kepada negeri serta rakyat.
