Pahang Kehilangan Pemimpin Banyak Berbakti

17 Aug 2023 • 8:25 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pemergian Johari kehilangan besar kepada Kerajaan dan rakyat Pahang. - gambar Facebook Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pahang merakamkan ucapan takziah atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam awal petang tadi.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa lain yang terbabit dalam nahas itu.

“Innalillahiwainnalillahirajiun, Dengan penuh kesedihan dan dukacita, saya telah dimaklumkan bahawa YB. Dato' Sri Johari bin Harun, ​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, yang juga ADUN Pelangai, merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan kediaman Elmina, Seksyen U16, Shah Alam,  kira-kira jam 2.45 petang tadi.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

“Sesungguhnya Negeri Pahang kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri ini,” katanya dalam satu hantaran malam ini.

Pada masa sama, Wan Rosdy meminta orang ramai untuk tidak menyebarkan imej atau video mangsa ketika kemalangan bagi menghormati keluarga mangsa yang berada dalam kesedihan ketika ini.

“Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin. Amin. Al-Fatihah,” katanya.

Pada sidang media petang tadi, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan 10 mangsa maut dalam nahas udara berkenaan iaitu dua kru pesawat, lapan penumpang dan dua orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Menurut beliau, pesawat jenis Beechcraft 390 dengan nombor pendaftaran N28JV itu yang sedang dalam penerbangan dari Langkawi, menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, terhempas selepas dua minit mendapat pelepasan untuk mendarat. – Getaran, 17 Ogos 2023