Isu eksport pasir: UMNO Pahang sokong pendirian Wan Rosdy

LocalPolitics
9 May 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Isu eksport pasir: UMNO Pahang sokong pendirian Wan Rosdy
Shahaniza dan laporan Sinar Harian mengenai pendirian Wan Rosdy berhubung titah Tengku Hassanal sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 DUN Pahang pada Jumaat.

 

 

KUANTAN - UMNO Pahang berpandangan isu eksport pasir sungai wajar diteliti secara menyeluruh berasaskan fakta, kajian teknikal, kepentingan alam sekitar serta hak negeri.

Ketua Penerangannya, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, pendirian itu selaras dengan sokongan parti terhadap kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Istiadat Pembukaan Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Jumaat.

"UMNO Pahang menyokong penuh terhadap kenyataan Wan Rosdy dalam perkara berkenaan.

"Pendekatan yang diambil kerajaan negeri menunjukkan komitmen untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bertanggungjawab, seimbang dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kelestarian negeri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Shahaniza memberitahu, titah Tengku Mahkota Pahang jelas mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap masa depan pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta kepentingan strategik negeri Pahang untuk jangka panjang.

Jelasnya, parti itu turut menjunjung kasih atas keprihatinan Tengku Hassanal yang sentiasa mengikuti isu-isu melibatkan kepentingan negeri dan rakyat.

"Kita yakin di bawah kepimpinan Menteri Besar Pahang, segala perkara yang dibangkitkan akan ditangani dengan penuh hikmah, tertib dan berpandukan lunas undang-undang serta kepentingan negeri," katanya.

Shahaniza turut menegaskan, slogan Pahang First perlu terus dijadikan prinsip utama dalam setiap keputusan melibatkan kepentingan negeri.

Terdahulu, Tengku Hassanal sebelum ini menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang tidak berpihak kepada hak kerajaan negeri ini.

Baginda turut menegur campur tangan kerajaan Pusat dalam usaha kerajaan negeri menentukan perolehan hasil termasuk berkaitan kelulusan eksport pasir sungai.