Pahang tawar gaji lebih kompetitif, buru jurulatih berkualiti

19 Nov 2026 • 7:04 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang tawar gaji lebih kompetitif, buru jurulatih berkualiti
Fadzli Mohamad Kamal

SERAMAI 43 jurulatih sukan sepenuh masa di Pahang bakal menikmati kenaikan gaji antara RM200 hingga RM1,200 sebulan bermula tahun depan dalam usaha kerajaan negeri memperkukuh prestasi sukan serta menarik tenaga kejurulatihan berkualiti ke negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Fadzli Mohamad Kamal berkata, penyelarasan gaji tersebut merupakan antara langkah transformasi sukan Pahang yang akan dilaksanakan bermula Januari depan.

Menurutnya, kadar kenaikan itu mengambil kira pelbagai faktor termasuk pengalaman, tahap kelayakan, sijil kemahiran, pencapaian serta latar belakang jurulatih.

"Setiap jurulatih mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai dan kita berharap pelarasan gaji ini dapat meningkatkan lagi prestasi mereka.

"Kadar gaji baharu ini turut mengambil kira aspek kemahiran, pengalaman, status sebagai bekas atlet kebangsaan dan beberapa kriteria lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Negeri Pahang 2026 yang disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis.

Fadzli berkata, setakat ini seramai 43 jurulatih sukan sepenuh masa telah dipersetujui untuk menyambung kontrak perkhidmatan mereka bagi tahun hadapan.

Menurutnya, pakej gaji yang lebih kompetitif itu juga bertujuan menarik kehadiran jurulatih berpengalaman dari luar negeri bagi membantu meningkatkan prestasi atlet Pahang.

"Kita mengalu-alukan jurulatih yang berkelayakan untuk menyertai pasukan pembangunan sukan negeri ini.

"Lihat pakej yang ditawarkan di Pahang dan jika berminat, kita sedia berbincang kerana masih terdapat beberapa kekosongan dalam sukan tertentu yang perlu diisi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut bersedia menawarkan pakej yang lebih tinggi bergantung kepada pengalaman, kepakaran dan rekod pencapaian calon.

"Jika ada jurulatih yang lebih layak dan berminat, kita bersedia mempertimbangkan tawaran yang lebih baik kerana bermula Januari tahun depan kita mahu melaksanakan transformasi sukan Pahang secara menyeluruh," katanya.

Tambah beliau, keutamaan tetap diberikan kepada anak kelahiran Pahang, namun penyertaan jurulatih dari luar negeri turut dipertimbangkan terutama bagi sukan yang memerlukan kepakaran khusus seperti olahraga, silat dan angkat berat.

Sementara itu, Fadzli berkata, atlet hoki dan menembak negeri ini turut menerima berita baik apabila insentif bagi pemenang pingat emas dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM3,000 seorang.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved