Paip gas: Petronas benarkan laluan 30 meter, akses baharu untuk empat keluarga

3 Sep 2026 • 10:00 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Paip gas: Petronas benarkan laluan 30 meter, akses baharu untuk empat keluarga

SHAH ALAM, 3 SEPT: Empat keluarga di Jalan Sellathevan, Seksyen 36, Shah Alam bakal mempunyai laluan masuk baharu selepas Petronas bersetuju membenarkan sebahagian zon penampan paip gas bawah tanah digunakan sebagai akses ke kediaman mereka.

Persetujuan itu dicapai hasil perbincangan bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr Gunaraj George, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Petronas dan wakil penduduk selepas laluan sedia ada ditutup atas faktor keselamatan.

Gunaraj berkata penutupan laluan berkenaan sebelum ini menyebabkan empat keluarga terbabit berdepan kesukaran untuk keluar masuk ke kediaman, sekali gus memerlukan penyelesaian yang mengambil kira aspek keselamatan serta keperluan penduduk.

“Kita faham penutupan ini dibuat atas faktor keselamatan kerana melibatkan paip gas, tetapi pada masa yang sama empat keluarga ini perlu mempunyai laluan yang selamat dan munasabah untuk keluar masuk ke rumah mereka.

“Kita akan cuba cari jalan penyelesaian bersama MBSA dan Petronas supaya isu ini dapat diselesaikan secara berhemah dengan mengambil kira keselamatan serta keperluan empat keluarga yang terlibat,” katanya.

Image from: Paip gas: Petronas benarkan laluan 30 meter, akses baharu untuk empat keluarga
ADN Sentosa Dr Gunaraj George meninjau lokasi akses baharu yang dibenarkan Petronas untuk kegunaan empat keluarga di Jalan Sellathevan, Seksyen 36, Shah Alam pada 28 Ogos 2026. Foto ZAKI RAHIM/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke lokasi berkenaan serta perbincangan bersama MBSA, Petronas dan wakil penduduk bagi meneliti keadaan sebenar kawasan terbabit, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, hasil perbincangan itu, Petronas bersetuju membenarkan laluan sepanjang 30 meter di zon penampan digunakan sebagai laluan masuk baharu ke tanah milik penduduk yang terjejas.

“Ini merupakan satu perkembangan yang baik dan kita berharap penyelesaian ini dapat membantu penduduk mendapatkan akses yang lebih selamat dan munasabah ke kediaman mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Gunaraj meminta penduduk terbabit mematuhi arahan keselamatan Petronas, khususnya larangan penggunaan laluan berkenaan oleh kenderaan berat melebihi 10 tan sementara proses penyelesaian dilaksanakan.

Katanya, kerjasama semua pihak penting bagi memastikan sebarang laluan yang digunakan berhampiran jajaran paip gas tidak menjejaskan keselamatan infrastruktur berkenaan serta penduduk setempat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved