Pak Andam, ‘groomstylist’ angkat darjat pengantin lelaki

25 Oct 2026 • 10:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pak Andam, ‘groomstylist’ angkat darjat pengantin lelaki

Dunia perkahwinan moden kini menyaksikan anjakan paradigma yang ketara. Jika dahulu, hari bahagia itu sinonim dengan tumpuan mutlak terhadap pengantin perempuan, kini landskap tersebut berubah sepenuhnya.

Pengantin lelaki tidak lagi hanya menjadi pelengkap di pelamin, sebaliknya turut diiktiraf sebagai watak utama yang wajar tampil segak, kemas dan berseri.

Sememangnya selama ini istilah ‘mak andam’ lebih biasa didengari kerana lebih kepada kerjaya berkait wanita dan pengantin perempuan.

Dalam industri menata rias lelaki untuk tampil lebih segak, nama Megat Mat Akhir Megat Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Andam sudah begitu sinonim dengan dunia andaman tradisional.

Berusia 58 tahun berasal dari Kuala Sepetang, Perak, perjalanan seni Pak Andam bermula sejak zaman sekolah menengah sebelum mengambil langkah rasmi sebagai pengapit dan pengandam pengantin pada awal tahun 1986.

Menariknya, seni andaman bukanlah sumber rezeki sepenuh masanya pada peringkat awal.

Selama bertahun-tahun, Pak Andam membahagikan masa antara kerjaya hakikinya dalam industri kayu bakau dan kayu arang bakau di Larut Matang sehingga berjaya memiliki kilang kayu arang sendiri pada 2010 dengan minat mendalamnya terhadap budaya dan adat perkahwinan Melayu.

“Menata rias pengantin bukan sekadar mencantikkan penampilan seseorang pada hari perkahwinannya. Ia berkait rapat dengan seni, budaya, adat dan identiti masyarakat Melayu yang diwarisi sejak turun-temurun,” ujarnya membuka bicara kepada CitaRasa.

Mengimbas era 1980-an, peralatan dan bahan solekan yang digunakan jauh bezanya dengan lambakan produk moden hari ini.

Menurut Pak Andam, proses menyolek dan mempersiap pengantin pada zaman itu menggunakan bahan semula jadi seperti santan kelapa dan limau nipis untuk membersihkan badan serta kepala.

Peralatan asas lain termasuk pencukur untuk merapikan misai dan janggut, benang untuk membuang bulu halus di wajah serta bedak batu atau bedak air Siam, gincu dan celak Mekah.

Kini, selepas hampir empat dekad berkecimpung dalam bidang dandanan lelaki, Pak Andam mengakui terus berkembang dengan alatan solek yang pelbagai.

“Apabila melihat perkembangan industri solekan hari ini, memang banyak perubahan yang berlaku dari segi teknik, peralatan dan produk.

“Begitu pun, pengalaman menggunakan bahan-bahan tradisional itulah yang menjadi sebahagian kenangan berharga dalam perjalanan saya sebagai pengandam,” katanya.

Pak Andam mulai tular pada 2024 selepas kandungan solekannya mendapat perhatian di platform TikTok.

Image from: Pak Andam, ‘groomstylist’ angkat darjat pengantin lelaki
Sebagai seorang ‘groomstylist’, Daniel turut membawa perspektif kontemporari dalam andaman lelaki.

Lengkap berbaju Melayu dan songkok saat datang menyiapkan pengantin bersama hasil solekan segar menjadikan nama Pak Andam semakin dikenali.

Selain menyolek pengantin, Pak Andam juga menyolek pelakon untuk penampilan di kaca televisyen termasuk Datuk Jalaludin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Rahim Omar, Rashdan Baba dan Mubarak Majid.

Cukup menghargai perjalanannya sehingga kini, Pak Andam berkata, tugas individu sepertinya bukan semata-mata tentang wang ringgit.

“Tugas kami mungkin terlihat kecil dalam sesebuah majlis perkahwinan, namun kesannya terhadap penampilan pengantin lelaki sebenarnya cukup besar.

“Bayangkan jika dalam sebuah majlis perkahwinan, pengantin perempuan sudah siap bersolek cantik, namun pengantin lelaki pula nampak suram kerana penampilannya tidak diberi perhatian sewajarnya.

“Ia tentunya akan memberi kesan kepada majlis bersejarah itu,” kata bapa kepada 12 cahaya mata dan datuk kepada 14 orang cucu itu.
Pak Andam amat mengalu-alukan generasi muda untuk menceburi bidang dandanan lelaki.

“Bidang ini bukan sahaja boleh dijadikan kerjaya utama, malah boleh menjadi sumber pendapatan sampingan jika dibuat bersungguh-sungguh.

“Jangan malu untuk belajar daripada mereka yang berpengalaman. Dunia solekan sentiasa berkembang, jadi kita perlu sentiasa terbuka untuk menerima ilmu baharu,” katanya.

Jika Pak Andam mewakili ketelitian warisan klasik, Muhammad Afiq Daniel Suhaimi atau Daniel Suhaimi, 25, pula membawakan perspektif kontemporari yang selari dengan keperluan pengantin moden hari ini.

Berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu dan kini berpangkalan di Rawang, Selangor, anak muda ini mula mengambil tempahan rasmi sebagai groomstylist pada November 2025.

Minat Daniel terhadap dunia solekan bercambah sejak usianya masih kecil iaitu di bangku sekolah rendah lagi.

Kecenderungan terhadap seni teknik solekan yang tepat mampu menyerlahkan keperibadian seseorang akhirnya diterjemahkan ke peringkat profesional.

Bagi Daniel, solekan lelaki sama sekali tidak harus kelihatan tebal atau mengubah wajah secara drastik. Dia teguh mengamalkan konsep ‘skin but better’ dengan tekstur semula jadi kulit dikekalkan, namun dirapikan supaya kelihatan segar, bersih dan kemas.

“Pasangan muda sekarang semakin mementingkan penampilan kedua-dua pihak.

“Pengantin lelaki juga watak utama dalam cerita yang sama dan layak diberikan perhatian, lebih-lebih lagi apabila setiap momen dirakam dalam bentuk gambar dan video,” jelas Daniel.

Platform seperti TikTok menjadi tunjang utama dalam usaha Daniel mendidik masyarakat. Menerusi hantaran video sebelum dan selepas solekan, jejaka itu membuktikan bahawa solekan lelaki adalah satu bentuk penjagaan diri (grooming), bukannya sesuatu yang melanggar batasan maskuliniti.

Daniel juga amat memahami golongan lelaki yang lazimnya berasa janggal atau malu kali pertama disolek. Pendekatan santai dan penerangan teliti yang diberikan membantu pelanggan rasa selesa sekali gus memupuk kesedaran bahawa menjaga penampilan adalah kunci keyakinan diri yang sihat.

“Saya tidak mahu mereka rasa seperti terpaksa menjadi orang lain. Sebaliknya, saya mahu mereka sedar bahawa menjaga penampilan bukan sesuatu yang perlu dimalukan, malah boleh membantu meningkatkan keyakinan diri.

“Maklum balas yang sering diterima daripada pelanggan juga adalah positif. Pelanggan yang pada mulanya khuatir solekan akan menjadi terlalu tebal atau terlalu ketara kemudian memberitahu mereka berpuas hati apabila melihat hasil sentuhan saya yang menampakkan penampilan mereka lebih segar,” katanya.

Pertemuan dua generasi ini membuktikan bahawa seni penata rias pengantin lelaki di Malaysia mempunyai akar yang kuat dan masa depan yang cerah.

Sama ada melalui pengalaman hampir empat dekad Pak Andam yang menekankan keikhlasan, adab dan warisan Melayu, mahupun ketelitian moden Daniel yang memanfaatkan platform digital demi keyakinan generasi muda, kedua-duanya sepakat dalam satu matlamat iaitu pengantin lelaki wajar diraikan, diberikan perhatian dan dibantu untuk tampil istimewa pada hari paling bermakna dalam hidup mereka.

The post Pak Andam, ‘groomstylist’ angkat darjat pengantin lelaki appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved